Isnin, 17 Januari 2022 | 6:32am
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

Arab Saudi tetap sela masa 10 hari antara umrah

RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menjelaskan sela masa 10 hari antara pengeluaran dua permit umrah terpakai kepada jemaah semua peringkat umur termasuk jemaah asing.

"Jemaah asing boleh menunaikan maksimum tiga umrah sepanjang 30 hari berada di negara ini. Jemaah yang mendapat permit mengerjakan umrah boleh membuat janji temu untuk umrah kedua melalui aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna pada penghujung hari ke-10 selepas menunaikan umrah pertama," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Memetik laporan Saudi Gazette, berdasarkan peraturan awal dikeluarkan kementerian itu, semua jemaah berusia 12 tahun dan ke atas dari dalam dan luar negara serta mempunyai status kesihatan imun pada permohonan Tawakkalna selepas melengkapkan vaksin COVID-19 akan dibenarkan menunaikan umrah dan solat di Masjidil Haram.

Kementerian memaklumkan tiada pilihan bagi permohonan Eatmarna atau Tawakkalna untuk menukar tarikh permit dikeluarkan.

Satu-satunya cara ialah membatalkan permit dan mengeluarkan semula permit. Pembatalan boleh dibuat pada bila-bila masa sebelum empat jam daripada slot masa yang diberikan untuk menunaikan umrah dalam permit.

Kementerian menjelaskan sekiranya permit dibatalkan selepas ia dikeluarkan, jemaah hanya boleh menempah permit baharu selepas 10 hari.

Peraturan baharu itu berikutan pelaksanaan semula langkah berjaga-jaga dan protokol pencegahan seperti pemakaian pelitup muka dan mengekalkan penjarakan sosial di Dua Masjid Suci berikutan lonjakan kes COVID-19 terutamanya varian Omicron di negara itu.

Kementerian itu sebelum ini mengenakan sela masa 15 hari antara pelaksanaan dua umrah tetapi membatalkannya pada Oktober tahun lalu sebelum memperkenalkan sela masa 10 hari antara dua umrah. - AGENSI

Berita Harian X