Ahad, 16 Januari 2022 | 7:35pm
Gambar diedarkan agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, menunjukkan pelancaran peluru berpandu dari kereta api di wilayah utara Pyongyang. - Foto AFP
Gambar diedarkan agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA, menunjukkan pelancaran peluru berpandu dari kereta api di wilayah utara Pyongyang. - Foto AFP

Korea Utara uji peluru berpandu lagi

PYONGYANG: Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu kereta api taktikal dalam pelancaran ketiga pada bulan ini, tatkala Amerika Syarikat (AS) melaksanakan beberapa sekatan baharu ke atas negara itu.

Tentera Korea Selatan menyatakan, pihaknya mengesan dua peluru berpandu balistik jarak dekat semalam, beberapa jam selepas Korea Utara menuduh AS melakukan provokasi susulan sekatan baharu diumumkan Washington.

"Ujian ini diadakan untuk memeriksa dan menilai keupayaan peluru berpandu yang dilancarkan dari kereta api," kata agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA.

Ketua-Ketua Staf Bersama Korea Selatan berkata peluru berpandu itu terbang sejauh 430 kilometer (km) pada ketinggian 36 km.

Ujian berkenaan adalah yang ketiga pada bulan ini, menyusuli kejayaan pelancaran dua peluru berpandu hipersonik pada 5 Januari dan 11 Januari lalu.

Sebagai tindak balas, AS melaksanakan beberapa sekatan baharu ke atas Pyongyang minggu ini manakala Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken, berkata Korea Utara sengaja 'mahukan perhatian' menerusi tindakannya.

Susulan sekatan baharu itu, Pyongyang menuduh Washington 'sengaja memburukkan keadaan sedia ada,' sedangkan Korea Utara berhak untuk mempertahankan dirinya. - AGENSI

Berita Harian X