Sabtu, 15 Januari 2022 | 8:18am
Berita televisyen yang disiarkan bulan ini di Korea Selatan menunjukkan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara. - Foto AFP
Berita televisyen yang disiarkan bulan ini di Korea Selatan menunjukkan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara. - Foto AFP

Uji peluru berpandu ketika ketegangan dengan AS memuncak

SEOUL: Korea Utara menguji peluru berpandu yang dibawa melalui kereta api semalam dalam ujian senjata kali ketiganya sepanjang bulan ini.

Menurut laporan media tempatan KCNA hari ini, peluru berpandu yang digunakan dalam latihan tembakan Korea Utara itu sekaligus mencetuskan desakan Amerika Syarikat (AS) terhadap sekatan baharu ke atas negara terpencil terbabit.

Berdasarkan maklumat Ketua Turus Bersama Korea Selatan, pihaknya mengesan objek dipercayai dua peluru berpandu balistik jarak dekat yang dilancarkan ke arah timur dari wilayah Pyongan Utara di pantai barat laut Korea Utara.

Agensi KCNA melaporkan latihan menembak itu diadakan untuk menyemak dan menilai kecekapan dalam prosedur tindakan rejimen bawaan kereta api, yang diuji negara buat kali pertama pada September lalu, dan direka sebagai serangan balas yang berpotensi kepada mana-mana ancaman kuasa.

Ia adalah kali ketiga Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik sejak Tahun Baharu membabitkan ujian senjata yang luar biasa pantas. 

Dua pelancaran sebelum ini membabitkan peluru berpandu hipersonik berkelajuan tinggi seperti dinyatakan kerajaan.

Latihan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Pyongyang menyelar tindakan AS meneruskan sekatan baharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung beberapa siri pelancaran baru-baru ini yang dianggap sebagai provokasi dan amaran tindak balas.

Namun, pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dilaporkan tidak menghadiri latihan itu. 

Menurut laporan KCNA, latihan itu diadakan dalam masa singkat daripada kakitangan am tentera tetapi rejimen terbabit berjaya mengenai sasaran yang ditetapkan di pantai timur membabitkan dua peluru berpandu taktikal.

"Rejimen itu menunjukkan kelincahan pergerakan dan kadar pukulan yang tinggi selain membincangkan cara untuk menubuhkan sistem operasi peluru berpandu bawaan kereta api yang teratur di seluruh negara," kata KCNA.

Korea Utara sering mempertahankan ujian peluru berpandu sebagai hak kedaulatannya untuk mempertahankan diri dan menuduh AS sengaja memburukkan keadaan dengan sekatan baharu.

Sementara itu, Washington mengecam pelancaran terbaharu itu dengan menyifatkan ia menimbulkan ancaman kepada jiran Pyongyang dan masyarakat antarabangsa, sambil mengulangi gesaan untuk memulakan semula rundingan nyah nuklear yang terhenti. - REUTERS

Berita Harian X