SEOUL: Korea Utara menegaskan tindakannya melancarkan siri ujian peluru berpandu, adalah hak sah untuk mempertahankan diri, lapor media negara itu yang memetik Kementerian Luar, hari ini.
Sambil mempertahankan tindakan itu, Pyongyang sekali gus menyifatkan Amerika Syarikat (AS) sengaja meningkatkan ketegangan dengan mengenakan sekatan baharu susulan isu berkenaan.
Jurucakap Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan disiarkan agensi berita KCNA, mendakwa 'senjata jenis baharu' yang dibangunkan itu sekadar sebahagian daripada usaha Pyongyang untuk memodenkan keupayaan pertahanan nasional dan tidak menyasarkan sebarang negara khusus atau mengancam keselamatan negara jiran.
"Tuduhan AS terhadap hak sah DPRK untuk mempertahankan diri, adalah suatu provokasi jelas dan logik ala samseng," menurut kenyataan itu. DPRK adalah singkatan nama rasmi Korea Utara.
Malah dalam kenyataan itu, Korea Utara turut memberi amaran 'tindak balas pasti serta lebih kuat' tanpa butiran terperinci, sekiranya AS mengambil pendirian konfrontasi.
Rabu lalu, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, mengenakan sekatan terkini berkait program senjata Korea Utara susulan tindakan Pyongyang melancarkan beberapa siri ujian peluru berpandu sejak kebelakangan ini, termasuk dua pada minggu lalu.
Selain itu, Washington juga menggesa Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengambil tindakan ke atas beberapa entiti dan individu meliputi warga Korea Utara.
Ini kerana pihak terbabit didakwa melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB yang melarang Korea Utara membangunkan senjata nuklear dan peluru berpandu.
Bagaimanapun, Korea Utara mendakwa senjata dilancarkannya baru-baru ini adalah 'peluru berpandu hipersonik' yang akan memperkasakan pasukan tentera strategik negara itu.
Sementara itu Setiausaha Negara AS, Antony Blinken mendakwa bahawa Washington tiada niat permusuhan terhadap Korea Utara, malah bersedia untuk mengadakan rundingan tanpa prasyarat.
Namun, Blinken menegaskan, tindakan Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu terbabit 'amat menggugat kestabilan.'
Menurut Kementerian Luar Korea Utara pula, walaupun Washington mungkin berbicara mengenai diplomasi dan dialog, tindakan AS menunjukkan 'ia masih tetap dengan dasar untuk menyisih serta menyekat' Korea Utara. - REUTERS