Selasa, 11 Januari 2022 | 7:45am
Seorang anggota tentera Korea Selatan berjalan melepasi skrin berita televisyen yang menunjukkan rakaman ujian peluru berpandu Korea Utara di Seoul. - Foto AFP
Seorang anggota tentera Korea Selatan berjalan melepasi skrin berita televisyen yang menunjukkan rakaman ujian peluru berpandu Korea Utara di Seoul. - Foto AFP

AS, sekutu desak Korea Utara henti ancam kestabilan

AMERIKA SYARIKAT: Enam negara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, semalam mendesak Korea Utara untuk menghentikan tindakan yang mengancam kestabilan selepas melancarkan peluru berpandu, minggu lalu.

Menerusi kenyataan bersama di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), empat negara lain iaitu Perancis, Britain, Ireland dan Albania turut menyatakan desakan sama terhadap Korea Utara, selain menggesa supaya mengadakan dialog ke arah penghapusan nuklear secara sepenuhnya.

"Tindakan ini meningkatkan risiko untuk kesilapan berlaku dan mengundang ancaman terhadap kestabilan serantau.

"Setiap peluru berpandu yang dilancarkan bukan sekadar meningkatkan keupayaan Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) tetapi untuk memperluaskan dagangan senjata kepada pelanggan dan pengedar senjata haram di seluruh dunia," kata Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, ketika membacakan kenyataan bersama, sempena sidang tertutup Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Berdasarkan maklum balas beberapa diplomat, tiada kenyataan bersama akan dikeluarkan sebaik sidang berkenaan melabuhkan tirainya, memandangkan Russia dan China tidak lagi sehaluan dengan negara barat mengenai Korea Utara, sejak tiga siri sekatan ekonomi dikenakan terhadap Pyongyang pada 2017.

Khamis lalu, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) dilaporkan berkata, peluru berpandu yang dilancarkan pada 5 Januari lalu membawa 'bahan peledak gelincir berkelajuan hipersonik', iaitu kedua seumpamanya selepas ujian kali pertama diadakan pada September tahun lalu.

AS dan Jepun adalah antara negara yang paling cepat untuk mengutuk pelancaran peluru berpandu berkenaan, dengan menyatakan bahawa ia melanggari beberapa resolusi UNSC serta mengancam keselamatan global.

Pyongyang pula sebaliknya mempertikaikan bahawa usaha pembangunan teknologi senjata yang dirintis negara terbabit adalah keperluan pertahanan terhadap sebarang potensi ancaman pencerobohan didalangi AS. - AFP

Berita Harian X