Isnin, 10 Januari 2022 | 8:45pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Militan Daesh lari selepas serbuan polis di Pakistan

QUETTA: Sekumpulan individu disyaki militan Daesh melarikan diri di Pakistan selepas lolos daripada serbuan polis, yang menyebabkan enam lagi anggota kumpulan itu terbunuh, kata pegawai, hari ini.

Polis anti keganasan, dalam satu kenyataan, memaklumkan mereka menyerbu tempat persembunyian di bandar barat daya Quetta Sabtu lalu dan membunuh enam militan, namun antara empat hingga lima orang berjaya melarikan diri.

Seorang pegawai kanan polis yang enggan dikenali memberitahu AFP, pasukan polis kini menyerbu kawasan lain untuk menangkap mereka yang melarikan diri.

Antara yang maut ialah Asghar Sumalani, seorang komander muda wilayah Daesh-Khorasan (IS-K), yang sebelum ini kerajaan menawarkan Rp2 juta (RM47,880) bagi penangkapannya.

Pegawai Pakistan sejak sekian lama tidak memandang berat kehadiran IS-K di negara mereka.

Bagaimanapun, kumpulan itu mengaku bertanggungjawab terhadap banyak serangan termasuk membunuh 11 pelombong daripada komuniti minoriti Syiah Hazara tahun lalu, sekali gus mendapat perhatian pihak berkuasa Pakistan.

Sebahagian daripada pelombong itu dipenggal selepas diculik dari lombong arang batu terpencil di kawasan pergunungan Machh, 60 kilometer di tenggara Quetta.

IS-K mempunyai kekuatan di beberapa wilayah di timur Afghanistan, di sepanjang sempadan yang mudah dibolosi dengan Pakistan.

Kumpulan itu juga melakukan pengeboman berani mati di lapangan terbang Kabul pada Ogos lalu, yang mengorbankan banyak nyawa termasuk 13 anggota perkhidmatan Amerika Syarikat (AS) ketika Taliban menguasai semula Afghanistan.

Minggu lalu, ketua tentera Pakistan, Mejar Jeneral Babar Iftikhar, memberitahu pemberita bahawa Daesh Pakistan tidak begitu aktif, apabila ditanya mengenai kebimbangan ancaman kumpulan itu yang semakin meningkat. - AFP

Berita Harian X