Isnin, 10 Januari 2022 | 7:50pm
Seorang budak lelaki menjalani ujian calitan COVID-19 secara pandu lalu di Baitulmaqdis susulan peningkatan jangkitan varian Omicron. - Foto REUTERS
Seorang budak lelaki menjalani ujian calitan COVID-19 secara pandu lalu di Baitulmaqdis susulan peningkatan jangkitan varian Omicron. - Foto REUTERS

Israel syor ujian calitan tekak, hidung bersama RTK

BAITULMAQDIS: Individu yang melakukan ujian kendiri COVID-19 disyor turut menuji calitan pada tekak dan hidung bagi meningkatkan kecekapan mengesan varian Omicron.

Menurut pegawai kesihatan Israel, cadangan itu adalah bagi mereka yang menggunakan kit ujian pantas (RTK) antigen supaya risiko kegagalan mengesan varian baharu itu dapat dikurangkan.

Syor itu bertentangan dengan nasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan, arahan pengeluar kit itu masih perlu diikuti dan sebarang penggunaan calitan tekak yang tidak betul boleh menimbulkan risiko.

Ketua kesihatan awam Israel, Sharon Alroy-Preis, berkata ujian RTK yang digunakan secara meluas di negara itu kurang sensitif berbanding ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) bagi mengesan virus.

"Bagi meningkatkan sensitiviti alat itu, kami mulai hari ini mengesyorkan calitan dilakukan pada kerongkong dan hidung.

"Ia bukan apa yang diarahkan pengilang tetapi kami yang mengarahkannya," katanya melalui Radio Tentera Israel.

Dengan penularan Omicron yang melonjakkan jumlah kes jangkitan harian ke paras tertinggi, pusat ujian Israel sedang bergelut melakukan ujian.

Ini mendorong pegawai kesihatan mengutamakan kumpulan berisiko untuk ujian PCR dan memberi kepercayaan kepada golongan lebih muda serta sudah divaksin untuk membuat ujian di rumah jika terdedah kepada pembawa virus itu.

Alroy-Preis berkata, jika terdedah kepada pembawa, orang ramai harus mengambil lebih daripada satu ujian atau sekurang-kurangnya menunggu tiga hari selepas terdedah, sebelum membuat ujian dengan RTK.

Sesetengah pakar penyakit berjangkit bersetuju dengan calitan pada tekak melalui ujian RTK kerana individu sudah boleh menyebarkan Omicron kepada orang lain apabila ia menjangkiti tekak dan air liur mereka, meskipun belum sampai ke hidung.

Sementara itu, FDA dalam ciapan Twitter Jumaat lalu, menegaskan bahawa bagi ujian RTK COVID-19 di rumah, calitan yang diperlukan adalah dari hidung, bukan tekak.

Katanya, calitan tekak, jika digunakan secara tidak betul, boleh menyebabkan kemudaratan kepada pesakit.

Israel mencatatkan kira-kira 1.5 juta jangkitan sejak wabak itu melanda, dengan lebih 8,000 kematian.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, kira-kira 60 peratus daripada 9.4 juta penduduknya sudah diberi vaksin sepenuhnya. - AGENSI

Berita Harian X