Isnin, 10 Januari 2022 | 8:54am
Australia kini berdepan peningkatan jangkitan COVID-19 ekoran penularan varian Omicron. - Foto REUTERS
Australia kini berdepan peningkatan jangkitan COVID-19 ekoran penularan varian Omicron. - Foto REUTERS

Jangkitan COVID-19 Australia cecah 1 juta

SYDNEY: Australia hari ini melepasi angka satu juta kes COVID-19, dengan lebih separuh daripadanya direkodkan minggu lalu, apabila varian Omicron yang melanda di banyak negara meningkatkan jumlah kemasukan ke hospital serta memberi tekanan pada rantaian bekalan.

Selepas berjaya mengekang virus menerusi sekatan agresif dan kawalan sempadan ketat di awal pembendungan wabak itu, Australia kini berdepan peningkatan jangkitan dengan negara itu kini mula hidup dengan virus itu selepas vaksinasi lebih tinggi diberikan.

Peraturan ketat di pintu sempadan Australia sekali lagi menjadi tumpuan selepas pihak berkuasanya membatalkan visa bintang tenis, Novak Djokovic atas persoalan mengenai pengecualian vaksinnya.

Usahanya untuk kekal di Australia kini dirujuk ke mahkamah hari ini.

New South Wales dan Victoria hari ini melaporkan kira-kira 55,000 kes baharu, dengan jumlah jangkitan COVID-19 di Australia mencecah 1.03 juta sejak kes pertama direkodkan hampir dua tahun lalu.

Sebanyak 2,387 kematian direkodkan setakat ini, biarpun kadar kematian semasa gelombang Omicron adalah lebih rendah daripada wabak virus sebelumnya, dengan 92 peratus individu melengkapkan dos serta program penggalak semakin meningkat.

Jumlah kemasukan ke hospital yang semakin meningkat memaksa pihak berkuasa mengembalikan semula beberapa sekatan di negeri, sementara kekurangan kakitangan disebabkan peraturan pengasingan atau orang yang sakit turut menjejaskan perniagaan.

Pihak berkuasa sudah mengurangkan masa pengasingan mandatori untuk kontak rapat dan mengecilkan takrifan kontak rapat, namun masih mengkaji peraturan cuti kepada pekerja yang menjejaskan rantaian bekalan.

Mulai hari ini, vaksin COVID-19 Pfizer akan ditawarkan kepada 2.3 juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, di tengah-tengah dakwaan kekurangan stok suntikan, namun dinafikan pihak berkuasa.

"Terdapat vaksin dan tempat pengedaran yang mencukupi, ia hanya memerlukan sedikit kesabaran," kata Ketua Pasukan Petugas Vaksinasi, Leftenan Jeneral John Frewen, hari ini. - REUTERS

Berita Harian X