Ahad, 9 Januari 2022 | 6:34pm
Polis memeriksa penunggang motosikal di Chennai, Tamil Nadu di India selepas kerajaan negeri mengumumkan perintah berkurung susulan peningkatan kes COVID-19. - Foto AFP
Polis memeriksa penunggang motosikal di Chennai, Tamil Nadu di India selepas kerajaan negeri mengumumkan perintah berkurung susulan peningkatan kes COVID-19. - Foto AFP

India rekod lonjakan kes COVID-19 lima kali ganda sejak 1 Januari

NEW DELHI: India melaporkan 159,632 kes baharu COVID-19 hari ini, peningkatan lebih lima kali ganda sejak 1 Januari lalu, yang ketika itu hanya mencatatkan 27,553 kes harian.

Virus itu terus menular pada kelajuan yang belum pernah direkodkan, dengan kebanyakannya berpunca daripada varian Omicron (B.1.1.529) yang amat mudah berjangkit dan dikesan di 27 negeri di India.

Namun, jumlah kes harian itu belum mencecah angka tertinggi direkodkan tahun lalu ketika gelombang kedua COVID-19, yang meragut ribuan nyawa setiap hari dan rumah mayat beroperasi sepanjang masa untuk membakar mangsa pandemik.

Sejak Isnin lalu, jumlah jangkitan harian melonjak lebih empat kali ganda, sekali gus mencetus kebimbangan dalam kalangan pakar bahawa hospital negara itu akan dibebani sekali lagi.

Hospital seluruh India kini kembali berdepan kekurangan bekalan oksigen bagi menyelamatkan pesakit.

Bagi mengekang penularan jangkitan, pihak berkuasa kebanyakan negeri seperti Delhi, Uttar Pradesh, Punjab, Tamil Nadu, Bengal Barat dan Karnataka melaksana sekatan perintah berkurung waktu malam, mengehadkan peserta perhimpunan dan menutup pusat beli-belah serta rekreasi.

Ketika ini, Maharashtra antara negeri paling teruk terkesan dengan COVID-19, merekodkan pertambahan 41,434 kes dalam 24 jam, disusuli Delhi dan Bengal Barat, yang masing-masing merekodkan 20,181 dan 18,802 kes dalam tempoh sama.

Kementerian Kesihatan India memaklumkan, jumlah kes aktif hari ini merangkumi 1.66 peratus daripada jumlah jangkitan keseluruhan, manakala kadar pemulihan nasional adalah 96.98 peratus.

"Kadar positif harian direkodkan pada 10.21 peratus manakala kadar positif mingguan adalah 6.77 peratus," katanya.

Jumaat lalu, Kementerian Kesihatan India memaklumkan, pelawat yang tiba ke negara itu menggunakan kapal terbang perlu menjalani kuarantin di rumah selama seminggu sejurus tiba dan menjalani saringan pada hari kelapan. - AGENSI

Berita Harian X