Sabtu, 8 Januari 2022 | 2:22pm
Operasi SAR di lokasi kejadian sebuah bangunan runtuh dalam letupan disyaki akibat kebocoran gas di daerah Wulong, Chongqing, China, semalam. - FOTO REUTERS
Operasi SAR di lokasi kejadian sebuah bangunan runtuh dalam letupan disyaki akibat kebocoran gas di daerah Wulong, Chongqing, China, semalam. - FOTO REUTERS

Sekurang-kurang 16 maut bangunan runtuh akibat letupan

BEIJING: Sekurang-kurang 16 maut dalam letupan disyaki akibat kebocoran gas yang menyebabkan sebuah bangunan runtuh di Chongqing, semalam.

Agensi berita Xinhua melaporkan, seramai 26 mangsa dilaporkan terperangkap dalam runtuhan bangunan itu yang turut menempatkan sebuah kantin.

Insiden kira-kira jam 12.10 tengah hari itu menyebabkan lebih 10 mangsa mengalami kecederaan, termasuk seorang parah.

Rakaman video serta gambar disiarkan Xinhua menunjukkan anggota pasukan bertungkus lumus melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang malam tadi.

Menurut laporan Xinhua, semua mangsa terperangkap berjaya dikeluarkan, setakat tengah malam.

Sementara itu, pihak berkuasa Chongqing melalui laman sosial Weibo pula memaklumkan, mangsa yang cedera sedang mendapatkan rawatan lanjut.

Rakaman disiarkan stesen CCTV melalui laman sosial menunjukkan kepulan asap dan debu menyelubungi tempat kejadian di daerah Wulong.

Satu rakaman disiarkan Xinhua memaparkan puluhan anggota pasukan SAR pantas berulang alik membawa pengusung yang menempatkan mangsa.

Lebih 150 anggota bomba turut ditempatkan di lokasi kejadian, lapor CCTV.

Setakat ini, punca kejadian masih dalam siasatan.

Akhbar People's Daily melaporkan pihak berkuasa mendirikan 'sebuah ibu pejabat tindak balas kecemasan di lapangan' bagi mengatur operasi SAR dan menyediakan rawatan perubatan awal kepada mangsa. - AFP

Berita Harian X