BEIJING: Tanah runtuh di tapak pembinaan di wilayah Guizhou di barat daya China mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang, lapor media kerajaan, hari ini.
Pekerja sedang mengukuhkan lereng bukit apabila tanah runtuh berlaku pada petang Isnin, kata agensi berita rasmi Xinhua.
Pasukan penyelamat telah menemui 14 mayat, serta tiga orang yang cedera, dengan punca kemalangan "masih dalam siasatan", lapor Xinhua.
Kerja menyelamat "selesai", dengan tiga yang cedera kini dalam keadaan stabil, tambah Xinhua.
Gambar yang diterbitkan oleh media kerajaan menunjukkan kru penyelamat bekerja semalaman di bawah lampu limpah, dengan banyak serpihan dan jentera remuk jelas kslihatan.
Kemalangan pembinaan dan perindustrian bukan perkara luar biasa di China, selalunya disebabkan oleh piawaian keselamatan yang longgar.
Pada Disember lalu dua pekerja terbunuh dan 20 yang lain diselamatkan dari lombong arang batu yang ditenggelami air di wilayah Shanxi.
Pada Julai, pula 14 pekerja maut di wilayah Guangdong, selatan China selepas terowong yang mereka sedang dalam pembinaan dinaiki air. - AFP