Selasa, 4 Januari 2022 | 5:54pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Serangan dron ke atas tentera AS di barat Baghdad digagalkan

BAGHDAD: Dua dron sarat bahan letupan ditembak jatuh pertahanan udara Iraq ketika pesawat itu menghampiri pangkalan udara Ain al-Asad, hari ini, yang menempatkan tentera Amerika Syarikat (AS) di barat Baghdad.

Seorang pegawai pakatan tentera antarabangsa yang diketuai AS berkata, sebelum ini serangan serupa berjaya digagalkan semalam, apabila pertahanan udara Iraq menjatuhkan dua dron ketika mereka mendekati pangkalan yang menempatkan tentera AS berhampiran lapangan terbang antarabangsa Baghdad.

Serangan itu berlaku ketika Iran dan sekutunya di Iraq meraikan ulang tahun kedua pembunuhan jeneral tertinggi Iran, Qassem Soleimani.

AS mengetuai gabungan tentera antarabangsa yang memerangi militan DAESH di Iraq dan di Syria.

Soleimani terbunuh 3 Januari 2021, dalam serangan dron berhampiran lapangan terbang Baghdad yang diarahkan oleh Presiden AS, Donald Trump.

Semalam, Presiden Iran, Ebrahim Raisi, berkata Trump perlu dibicarakan kerana terbabit dalam pembunuhan itu atau Tehran akan mengambil tindakan membalas dendam. - REUTERS

Berita Harian X