Isnin, 3 Januari 2022 | 9:29pm
Pelajar mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin di Sekolah Menengah Perempuan di Srinagar, India selepas negara itu meluluskan vaksinasi bagi remaja berusia antara 15-18 tahun. - Foto AFP
Pelajar mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin di Sekolah Menengah Perempuan di Srinagar, India selepas negara itu meluluskan vaksinasi bagi remaja berusia antara 15-18 tahun. - Foto AFP

India lancar program inokulasi COVID-19 untuk kanak-kanak

MUMBAI: India memulakan program vaksinasi COVID-19 bagi kanak-kanak berusia 15 hingga 18 tahun hari ini bagi mencegah risiko peningkatan jangkitan akibat varian Omicron.

Pihak berkuasa di Gujarat, yang juga negeri kelahiran Perdana Menteri, Narendra Modi, menyasarkan untuk memberikan dos pertama kepada 3.6 juta kanak-kanak minggu ini di negara yang paling ramai penduduk remaja di dunia itu.

Pesuruhjaya Kesihatan Gujarat, Jai Prakash Shivahare, berkata bagi tujuan itu, pusat vaksinasi di sekolah swasta dan awam akan ditingkatkan dua kali ganda susulan pihak berkuasa sekolah diarah melaporkan data vaksin harian kepada pihak berkuasa negeri.

"Golongan itu akan diberikan vaksin di sekolah mereka selain pusat vaksinasi untuk mendapatkan dos penuh masing-masing.

"Kami mempunyai kapasiti dan bekalan vaksin yang mencukupi untuk majoriti kanak-kanak.

"Justeru, kami merayu ibu bapa untuk bekerjasama dengan memastikan kanak-kanak divaksin seawal mungkin," katanya.

Pihak berkuasa hari ini melaporkan 33,750 kes baharu COVID-19 dengan 123 kematian.

Menurut Kementerian Kesihatan, 1,700 kes disumbangkan oleh varian Omicron yang menyebar dengan pantas.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain dan Korea Selatan menggalakkan ibu bapa memberikan anak mereka vaksin selepas peningkatan jangkitan direkodkan meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan kerajaan hanya akan memberikan kanak-kanak vaksin Covaxin Bharat Biotech kerana ia satu-satunya vaksin dengan penyenaraian penggunaan kecemasan untuk kumpulan usia 15 hingga 18 tahun.

Golongan dewasa di India memperoleh Covaxin iaitu vaksin AstraZeneca di bawah jenama Covishield dan Sputnik V. - REUTERS

Berita Harian X