Isnin, 3 Januari 2022 | 6:19pm
Versi generik pil Paxlovid dibangunkan Pfizer menggabungkan rawatan oral bagi pesakit COVID-19 bergejala sederhana dan berisiko tinggi menjadi lebih serius kini dijual di Bangladesh. - Foto EPA
Versi generik pil Paxlovid dibangunkan Pfizer menggabungkan rawatan oral bagi pesakit COVID-19 bergejala sederhana dan berisiko tinggi menjadi lebih serius kini dijual di Bangladesh. - Foto EPA

Versi generik pil COVID-19 Pfizer mula dijual di Bangladesh

DHAKA: Pil generik pertama keluaran Pfizer bagi merawat jangkitan COVID-19 mula dijual di farmasi Bangladesh kelmarin, dua hari selepas pengawal selia ubat-ubatan meluluskannya bagi kegunaan kecemasan.

Arab News melaporkan, dua syarikat farmasi utama di Bangladesh, Beximco Pharma dan Eskayef mula menghasilkan ubat versi generik itu tahun lalu selepas ujian awal Pfizer menunjukkan kesan sangat baik merawat COVID-19.

Khamis lalu, Ketua Pengarah Pentadbiran Ubat-Ubatan negara itu memberikan kebenaran penggunaan kecemasan kepada kedua-dua pil berkenaan.

Tindakan itu menyusuli kelulusan kecemasan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat pada 22 Disember lalu.

Ujian klinikal membuktikan Paxlovid dibangunkan Pfizer dapat mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19 sehingga 89 peratus.

Pil generik dari Beximco Pharma akan memasuki pasaran farmasi dengan nama Bexovid manakala pil generik Eskayef dijual sebagai sebagai Paxovir.

Ketua Pegawai Operasi Beximco, Rabbur Reza, berkata pihaknya mula membangunkan produk itu sebaik saja melihat kejayaan gabungan ubat Pfizer bagi merawat virus sejak awal tahun lalu.

"Kita mula membekalkan pil itu kepada farmasi utama di Dhaka sejak petang Khamis lalu dan akan membekalkan ubat ini ke farmasi seluruh negara secara berperingkat," katanya kepada Arab News.

Pil baharu Paxlovid adalah gabungan rawatan oral bagi individu yang mempunyai gejala sederhana dan berisiko tinggi menjadi lebih serius akibat COVID-19.

Walaupun pil keluaran Pfizer dilindungi hak paten, negara seperti Bangladesh, yang dikategorikan sebagai kurang membangun, tidak terikat dengan peraturan itu bagi membolehkan mereka menghasilkan lebih banyak pil generik pada harga berpatutan.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran Eskayef, Dr Mohammad Mujahidul Islam, berkata Paxovir memerlukan tempoh beberapa hari lagi sebelum memasuki pasaran di Bangladesh.

"Ubat ini bukan untuk kegunaan biasa dan kita akan hantar bekalan ke lokasi strategik seperti hospital khas COVID-19 dan beberapa premis ubat-ubatan terpilih di seluruh negara," katanya.

Pfizer mengumumkan kerajaan AS akan membeli 10 juta dos rawatan Paxlovid pada harga AS$5.3 bilion (RM22.1 bilion), menjadikan kos setiap rawatan sekitar AS$530 (RM2,211), namun harga pil generik adalah jauh lebih rendah.

Rawatan lima hari menggunakan Bexovid keluaran Beximco dijual pada harga AS$190 (RM793) di farmasi di Dhaka manakala Paxovir keluaran Eskayef berharga sekitar AS$176 (RM734).

Bagaimanapun, Dr Mohammad Mujahidul berkata pihaknya akan cuba mengurangkan lagi harganya secara beransur-ansur. - AGENSI

Berita Harian X