Jumaat, 31 Disember 2021 | 8:01pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Lelaki Palestin ditembak mati

BAITULMAQDIS: Tentera Israel hari ini menembak mati seorang lelaki Palestin yang cuba menikam tentera dan orang awam di perhentian bas di Tebing Barat yang diduduki, kata tentera.

Kementerian kesihatan Palestin mengesahkan kematian penyerang yang didakwa itu, mengenal pastinya sebagai Amir Atef Rayyan.

Tentera berkata, cubaan menikam berlaku berhampiran persimpangan Gitain Avisar di Tebing Barat.

Warga Palestin itu, katanya, mendekati pos tentera dengan menaiki kereta 'dan keluar dari kenderaan itu dengan bersenjatakan pisau'.

Lelaki itu 'berlari ke arah stesen bas di mana orang awam dan tentera IDF berdiri. Tentera melepaskan tembakan ke arah penyerang dan meneutralkannya', tambah tentera.

Jurucakap tentera mengesahkan kepada AFP bahawa rakyat Palestin itu telah mati.

Tentera berkata, tiada kecederaan dalam kalangan orang Israel.

Tentera menutup jalan di kawasan itu, manakala yang lain mengejar kenderaan yang telah menurunkan penyerang yang didakwa, mencari lebih ramai suspek.

Menurut laporan tahunan tentera Israel, 100 serangan dilakukan pada 2021 terhadap warga Israel di Tebing Barat, meningkat daripada 60 serangan pada tahun sebelumnya.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merekodkan 410 serangan oleh peneroka Israel terhadap rakyat Palestin dalam tempoh 10 bulan pertama 2021, berbanding 358 pada keseluruhan 2020.

Serangan terbaharu itu berlaku selepas presiden Palestin, Mahmud Abbas membuat lawatan yang jarang berlaku ke Israel Rabu lalu untuk berbincang dengan Menteri Pertahanan, Benny Gantz.

Selepas rundingan di rumah Gantz, Israel melancarkan pakej 'langkah membina keyakinan' untuk Tebing Barat.

Ketegangan semakin memuncak di wilayah yang diduduki sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Tebing Barat telah menyaksikan beberapa siri serangan oleh rakyat Palestin terhadap warga Israel dan pembunuhan rakyat Palestin oleh tentera Israel semasa pertempuran sejak akhir November.

Dalam serangan terbaru pada 21 Disember, seorang lelaki Palestin cuba merempuh tentera Israel dengan keretanya berhampiran bandar Jenin di Tebing Barat.

Lelaki itu merempuh keretanya ke arah sebuah jip tentera selepas ditembak, menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar, kata tentera ketika itu.

Pada 19 Disember, tentera berkata, ia telah menahan empat lelaki Palestin yang disyaki menembak mati seorang peneroka Yahudi dan mencederakan dua yang lain hari sebelumnya.

Keempat-empat mereka disyaki melepaskan sekurang-kurangnya 10 peluru ke arah sebuah kereta, membunuh pelajar agama Yehuda Dimentman berusia 25 tahun dan mencederakan dua rakan pelajar ketika mereka memandu keluar dari Homesh, sebuah pos haram di utara Tebing Barat.

Utusan perdamaian Asia Barat PBB, Tor Wennesland, berkata pada bulan Disember dia 'bimbang dengan keganasan yang semakin meningkat di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis timur, yang meragut nyawa rakyat Israel dan Palestin'.

Israel menawan Tebing Barat pada 1967 dari Jordan. Hampir 500,000 warga Israel telah berpindah ke penempatan di wilayah itu, yang kebanyakan masyarakat antarabangsa menganggap sebagai haram. - AFP

Berita Harian X