Khamis, 30 Disember 2021 | 5:02pm
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud. - Foto AGENSI
Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud. - Foto AGENSI

Raja Salman gesa Iran akhiri 'tindak laku' negatif

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, hari ini menggesa Iran menamatkan 'tingkah laku negatif' di rantau itu, selepas Riyadh menuduh Tehran membantu pemberontak Yaman melancarkan serangan berdarah ke atas negaranya.

Bagaimanapun, pemerintah berusia 86 tahun itu kali ini dilihat bernada lembut terhadap negara Islam itu berbanding dua tahun lalu, apabila menggesa kuasa dunia 'berpendirian tegas' terhadap Tehran.

Raja Salman berkata demikian ketika berucap sekitar empat minit di majlis Syura yang juga badan penasihat tertinggi kerajaan, diadakan secara maya buat kali kedua berturut-turut.

Baginda dilihat membaca dari sehelai kertas putih, malah berhenti seketika dalam ucapan yang disiarkan selepas tiga jam dari waktu yang dijadualkan.

Agensi Berita Arab Saudi kemudian mengeluarkan kenyataan penuh Raja Salman.

"Kami berharap (Iran) mengubah dasar dan tingkah laku negatifnya di rantau ini dan menuju ke arah dialog dan kerjasama,

"Kami mengikuti dengan penuh kebimbangan dasar ketidakstabilan rejim Iran terhadap keselamatan dan keamanan di rantau ini," katanya dalam kenyataan itu.

Riyadh dan Tehran, sejak beberapa dekad lalu, menjadi musuh ketat, malah mengambil bahagian yang bertentangan dalam pelbagai konflik serantau, termasuk di Yaman di mana Arab Saudi mengetuai pakatan tentera menentang pemberontak Huthi yang disokong Iran.

Kedua-dua pihak juga sudah mengadakan beberapa pusingan rundingan sejak April lalu bertujuan memperbaiki hubungan, namun Raja Salman menuduh Iran 'menubuhkan dan menyokong' kumpulan mazhab bersenjata di rantau itu.

"Kami juga mengikuti sokongan rejim Iran terhadap pengganas Huthi, yang memanjangkan perang di Yaman dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di sana serta mengancam keselamatan kerajaan," katanya.

Yaman dilanda perang saudara sejak 2014 iaitu pertelagahan dengan kerajaan yang disokong pakatan pimpinan Arab Saudi, menentang puak Syiah Huthi yang menguasai sebahagian besar utara negara itu, termasuk ibu kota Sanaa.

Puluhan ribu orang sudah terbunuh dalam apa yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia, dengan lebih 80 peratus penduduk Yaman bergantung kepada bantuan.

Pada Ahad lalu, gabungan itu menuduh Iran dan kumpulan Hizbullah Lubnan membantu Huthi melancarkan peluru berpandu dan dron di Arab Saudi, mengakibatkan dua orang terbunuh minggu lalu.

Arab Saudi sudah lama menuduh Iran membekalkan Huthi dengan senjata canggih dan proksi Hizbullah pula melatih pemberontak tetapi Tehran menafikan tuduhan itu, manakala Hizbullah mendakwa tuduhan itu tidak masuk akal. - AFP

Berita Harian X