Khamis, 30 Disember 2021 | 1:58pm
Maharaja Naruhito. - Foto AFP
Maharaja Naruhito. - Foto AFP

Kerabat 'mengecil', empayar Jepun berisiko lenyap

TOKYO: Keluarga empayar Jepun berisiko lenyap berikutan kekurangan ahli keluarga yang layak untuk ditabalkan sebagai maharaja.

Beberapa pakar menyatakan kerajaan sedang mengusahakan langkah bagi meningkatkan bilangan kerabat diraja tetapi kebanyakan mereka gagal dihubungi.

Larangan wanita menaiki takhta akan menyaksikan tempat Maharaja Naruhito, 61, suatu hari nanti akan diisi oleh anak saudaranya Putera Hisahito dan bukannya anak tunggalnya Puteri Aiko.

Jika Hisahito yang berusia 15 tahun tidak mempunyai anak lelaki, keluarga diraja yang sejarahnya sejak lebih 2,600 tahun, akan ketiadaan waris lelaki untuk meneruskan keturunan.

Tinjauan menunjukkan orang ramai secara meluas menyokong idea seorang wanita mengambil peranan sebagai maharaja yang tidak memegang kuasa politik di bawah perlembagaan Jepun selepas Perang Dunia II.

Bagaimanapun tekanan untuk berpegang kepada tradisi lama berbanding akur kepada penggubal undang-undang dan pengundi konservatif, usaha wanita untuk menaiki takhta tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat.

Kerajaan sedang memikirkan kemungkinan penyelesaian kepada dilema itu dan minggu lalu panel yang ditauliahkan khas mengemukakan dua cadangan kepada kerajaan.

Antaranya membenarkan wanita diraja mengekalkan gelaran dan tugas awam apabila mereka berkahwin dengan pasangan bukan keluarga diraja

Ketika ini mereka yang berkahwin bukan dengan kerabat diraja perlu meninggalkan keluarga seperti dilakukan oleh bekas Puteri Mako Komuro pada Oktober lalu selepas berkahwin dengan rakan universitinya.

Keduanya ialah peraturan membenarkan lelaki daripada 11 bekas keluarga diraja yang dimansuhkan dalam pembaharuan pasca perang untuk menyertai semula keluarga diraja.

Laporan panel itu turut mengesyorkan peraturan keturunan lelaki dipelihara sekurang-kurangnya sehingga Putera Hisahito menjadi maharaja.

Namun, idea itu sama sekali tidak berdasarkan sistem keluarga semasa di Jepun atau idea mengenai kesaksamaan jantina, kata profesor sejarah di Universiti Chuo di Tokyo, Makoto Okawa.

"Saya rasa orang ramai tertanya-tanya apa yang salah dengan Puteri Aiko menggantikan takhta," kata Okawa. - AFP

Berita Harian X