Isnin, 27 Disember 2021 | 1:44pm
 Dandang kilang meletup di timur India dan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang. - Foto AGENSI
Dandang kilang meletup di timur India dan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang. - Foto AGENSI

Enam maut dandang kilang meletup di India

PATNA: Sebuah dandang kilang meletup di timur India pada Ahad menyebabkan sekurang-kurangnya enam pekerja maut, manakala enam lagi cedera.

Pasukan penyelamat masih mencari pekerja yang mungkin terperangkap dalam sisa runtuhan kilang yang menghasilkan snek makanan di kawasan perindustrian yang terletak kira-kira 95 kilometer di utara Patna, Bihar.

Pegawai polis, Ram Naresh Paswan, berkata punca letupan di Muzaffarpur itu masih disiasat, sambil memaklumkan angka kematian dijangka meningkat berikutan empat individu yang cedera berada dalam keadaan kritikal.

Kawasan persekitaran kilang itu dilanda panik susulan letupan kuat berkenaan menyebabkan gegaran serta kerosakan pada kediaman dan beberapa kilang lain di kawasan perindustrian Bela.

Standard keselamatan yang lemah kerap menjadi punca beberapa insiden kebakaran dan letupan di India.

Tahun lalu, satu insiden kebakaran besar dan letupan kuat menggegarkan sebuah gudang simpanan bahan kimia berhampiran Ahmedabad di barat Gujarat, menyebabkan 12 orang terbunuh. - AGENSI

Berita Harian X