Ahad, 26 Disember 2021 | 7:29pm
Gambar fail menunjukkan asap berkepul-kepul semasa pertempuran antara tentera yang setia kepada kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi dan pejuang pemberontak Huthi di wilayah Marib di timur laut Yaman pada 5 Mac 2021. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan asap berkepul-kepul semasa pertempuran antara tentera yang setia kepada kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi dan pejuang pemberontak Huthi di wilayah Marib di timur laut Yaman pada 5 Mac 2021. - Foto AFP

Pakatan diketuai Arab Saudi serang kem pemberontak Yaman

RIYADH: Pakatan yang diketuai Arab Saudi yang bertempur di Yaman hari ini mengatakan mereka menyerang kem pemberontak Huthi di ibu negara Sanaa, ketika pihaknya memperhebatkan kempen pengeboman udara terhadap pemberontak disokong Iran.

Pakatan yang menyokong kerajaan Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menentang Huthi dalam perang saudara, berkata ia memusnahkan gudang senjata di ibu kota yang dikuasai pemberontak, menurut Agensi Akhbar rasmi Saudi (SPA).

"Operasi di Sanaa adalah tindak balas segera terhadap percubaan untuk memindahkan senjata dari kem Al-Tashrifat di Sanaa," katanya dalam satu kenyataan.

Kata kenyataan itu lagi, pihaknya turut memusnahkan gudang senjata.

Pakatan itu dijadualkan mengadakan sidang akhbar pada hari ini di mana ia menyatakan akan menunjukkan bukti pembabitan militan Hizbullah yang disokong Iran Lubnan dalam konflik Yaman.

Arab Saudi yang sekian lama menuduh Iran membekalkan Huthi dengan senjata canggih dan proksi Hizbullah melatih pemberontak, bagaimanapun dakwaan republik Islam itu dinafikan.

Yaman yang dilanda perang saudara sejak 2014 menentang kerajaan dengan Huthi menguasai sebahagian besar wilayah utara.

Puluhan ribu orang terbunuh, dalam apa yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan paling teruk di dunia.

Pakatan itu melancarkan operasi ketenteraan 'berskala besar' terhadap Huthi semalam, kata pihak berkuasa Saudi, selepas peluru berpandu yang dilepaskan oleh pemberontak membunuh dua individu dalam kerajaan itu, kematian pertama seumpama itu dalam tiga tahun.

Serangan udara itu menyebabkan tiga orang awam terbunuh, termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita, kata pegawai perubatan Yaman kepada AFP.

Pakafan itu mengekalkan operasinya dijalankan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa, berulang kali menggesa Huthi supaya tidak menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.

Katanya, pihaknya akan menjelaskan pada sidang akhbar hari ini 'bukti pembabitan pengganas Lubnan Hizbullah di Yaman dan penggunaan lapangan terbang (Sanaa) untuk menyasarkan kerajaan, menurut SPA. - AFP

Berita Harian X