Ahad, 26 Disember 2021 | 1:11pm
Gambar fail menunjukkan pesawat tempur MIG-21 milik Tentera Udara India. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan pesawat tempur MIG-21 milik Tentera Udara India. - Foto AFP

Pesawat tempur India terhempas

NEW DELHI: Sebuah pesawat tempur MiG-21 milik Tentera Udara India (IAF) terhempas di barat negeri Rajasthan.

Media tempat melaporkan kejadian berlaku kelmarin semasa sesi latihan penerbangan dan setakat ini, tiada maklumat mengenai keadaan juruterbang.

"Malam ini, sekitar jam 8.30 malam (waktu tempatan), sebuah pesawat MiG-21 milik IAF terlibat dengan kemalangan di sektor barat semasa sesi latihan penerbangan. Butiran lanjut belum ada," menurut kenyataan IAF.

Berdasarkan laporan media tempatan yang memetik kenyataan polis, pesawat terhempas di kawasan Taman Negara Gurun, di bawah jajahan stesen polis Sam dekat Jaisalmer, sebuah daerah dalam Rajasthan.

Menurut IAF, arahan dikeluarkan untuk menyiasat kes itu dan lokasi sebenar kemalangan itu masih belum didedahkan.

Pada 8 Disember lalu, sebuah helikopter tentera terhempas di kawasan Coonoor dekat daerah Nilgiris yang terletak kira-kira 538 kilometer (km) barat daya Chennai iaitu ibu negeri Tamil Nadu.

Tragedi itu mengorbankan Ketua Staf Pertahanan India, Jeneral Bipin Rawat dan isteri serta 11 yang lain. - AGENSI

Berita Harian X