Sabtu, 25 Disember 2021 | 4:27pm
Pekerja barisan pemasangan di sebuah kilang di Fuyang, timur China. - Foto AFP
Pekerja barisan pemasangan di sebuah kilang di Fuyang, timur China. - Foto AFP

China pertimbang RUU tangani diskriminasi wanita di tempat kerja

BEIJING: Ahli Parlimen di China melaksanakan perbincangan bagi menangani isu diskriminasi dan gangguan seksual terhadap wanita ketika negara itu berdepan peningkatan kes berprofil tinggi sejak kebelakangan ini.

Draf Rang Undang-Undang (RUU) yang diterbitkan semalam merangkumi larangan ke atas majikan menyatakan keutamaan jantina pada iklan pekerjaan dan menyoal pemohon wanita mengenai status perkahwinan iaitu amalan biasa yang dikritik sejak berdekad lalu.

Menurut agensi berita milik kerajaann Xinhua, pindaan yang dicadangkan itu akan memudahkan penguatkuasaan mentakrifkan dengan jelas maksud gangguan seksual.

Melalui deraf teks yang diterbitkan semalam, ia melarang pertuturan kasar, tingkah laku fizikal yang tidak wajar atau paparan dan penyebaran imej, maklumat, teks, audio atau video seksual.

Majikan juga perlu menyediakan mekanisme untuk mencegah, menyiasat dan bertindak balas terhadap aduan sedemikian tanpa berlengah-lengah.

Namun, tidak disediakan butiran mengenai sebarang penalti jika semua peraturan itu gagal dipatuhi.

Pindaan itu terbuka untuk ulasan umum sehingga 22 Januari depan.

China melalui pertumbuhan ekonomi yang pesat sejak empat dekad lalu susulan peraturan hanya seorang anak dibenarkan yang sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan dan pekerjaan untuk wanita di negara itu.

Namun, penyertaan wanita dalam pasaran kerja menurun susulan tapisan jantina semasa mengambil pekerja selain lebih ramai wanita menjaga keluarga berikutan kurangnya kemudahan penjagaan kanak-kanak dengan bayaran yang mampu ditanggung ibu bapa.

Laporan dari Pemantau Hak Asasi Manusia pada Jun mendapati satu daripada lima jawatan perkhidmatan awam pada 2019 menetapkan keutamaan untuk pemohon lelaki.

Laporan itu turut menyatakan ia adalah amalan biasa bagi majikan termasuk di sekolah untuk memaksa kakitangan wanita menandatangani perjanjian untuk tidak mengandung bagi tempoh beberapa tahun sebagai syarat diambil bekerja.

Peraturan baharu itu dicadangkan ketika munculnya kebimbangan terhadap pelaksanaan undang-undang terkini China yang membenarkan sebuah keluarga mempunyai tiga anak.

Undang-undang terkini itu dikhuatiri menyebabkan majikan lebih keberatan untuk mengambil pekerja wanita.

China juga berdepan pergerakan #MeeToo yang diaktifkan selepas beberapa kes membawa kepada bantahan awam terhadap serangan seksual di tempat kerja.

Awal bulan ini, syarikat gergasi e-dagang, kumpulan Alibaba memecat seorang kakitangan wanita yang menuduh seorang pengurus melakukan serangan seksual kepadanya. - AFP

Berita Harian X