Khamis, 23 Disember 2021 | 10:08pm
Pejuang Taliban mengerumuni mayat suspek pengebom berani mati yang maut ditembak ketika cuba menyerang pejabat pasport di Kabul, Afghanistan. - Foto EPA
Pejuang Taliban mengerumuni mayat suspek pengebom berani mati yang maut ditembak ketika cuba menyerang pejabat pasport di Kabul, Afghanistan. - Foto EPA

Pengembom berani mati dibunuh di Kabul

KABUL: Seorang pengebom berani mati ditembak di luar pejabat pasport Afghanistan ketika suspek cuba menyerang bangunan itu, menurut kenyataan polis tempatan.

Serangan berlaku ketika ratusan pejuang Taliban beratur bagi mendapatkan dokumen berkenaan.

"Suspek dikenal pasti dan terbunuh ketika pemeriksaan di pintu masuk pejabat," menurut jurucakap polis Kabul, Mobin Khan.

Ketika kejadian berlaku, kira-kira 200 pejuang Taliban berkumpul di pejabat berkenaan selepas pihak berkuasa mengumumkan mereka diberi waktu khas bagi memohon mendapatkan pasport.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tujuan pejuang terbabit ingin mendapatkan pasport selepas pegawai keselamatan menghalang wartawan daripada menemubual mereka.

Malah, orang awam yang tiba bagi membuat permohonan sama dihalang berbuat demikian, malah ada antara dokumen permohonan mereka dimusnahkan pegawai keselamatan Taliban.

"Proses permohonan pasport buat anggota Taliban terpaksa dibatalkan kerana kehadiran yang terlalu ramai," menurut jurucakap pejabat pasport, Qari Shafiullah Tassal.

Beliau turut mendakwa ada pihak yang sengaja mengaku mereka mempunyai kaitan dengan Taliban.

Selain Kabul, pejuang Taliban turut diberi peluang memohon mendapatkan pasport di bahagian selatan bandar Kandahar.

Taliban sebelum ini menghentikan permohonan pasport selepas kumpulan itu kembali berkuasa pada 15 Ogos lalu atas alasan kekurangan kakitangan, kerosakan peralatan selain kekurangan bekalan.

Sebelum ini, terdapat beberapa serangan yang disasarkan terhadap Taliban sejak kembali berkuasa, antaranya didakwa didalangi Daesh. - AFP

Berita Harian X