Rabu, 22 Disember 2021 | 10:21pm
Duta Besar Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Abdallah al-Mouallimi. - Foto AFP
Duta Besar Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Abdallah al-Mouallimi. - Foto AFP

Tokoh agama kutuk homoseksual sebagai 'jenayah keji'

RIYADH: Pihak berkuasa tertinggi agama Arab Saudi hari ini berkata kerajaan secara mutlak menolak amalan homoseksual sebagai jenayah yang keji.

Kenyataan tegas itu dibuat ketika Riyadh berusaha mengubah imej ultra konservatif Islam yang tegar selama ini, didorong oleh pemodenan.

Kenyataan Mufti Besar, Abdulaziz al-Sheikh, dibuat selepas Duta Besar Arab Saudi ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Abdallah al-Mouallimi, menyatakan keraguan terhadap teks dalam deraf Perhimpunan Agung PBB mengenai demokrasi.

Antara pertikaian utama ialah mengenai istilah 'orientasi seksual dan identiti jantina'.

Beliau menegaskan, 'homoseksualiti adalah antara jenayah paling keji', menurut kenyataan dikeluarkan Agensi Berita Saudi.

Katanya, homoseksual adalah 'kehinaan serta memalukan di dunia dan akhirat', sambil menambah: "Hak asasi manusia... adalah pertama dan terpenting dalam undang-undang tuhan, bukan dalam keinginan sesat menyemai kerosakan di bumi.

Laporan tempatan Jumaat lalu memetik Mouallimi sebagai berkata istilah sedemikian bertentangan dengan identiti Arab-Islam dan undang-undang banyak negara anggota.

Komen mufti besar itu dibuat ketika pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, berusaha menonjolkan imej sederhana dan mesra perniagaan.

Baginda berusaha menarik pelaburan asing untuk meningkatkan aliran dana bagi mempelbagaikan ekonomi berbanding minyak.

Antara peralihan itu termasuk penarikan larangan memandu ke atas wanita, membenarkan konsert bercampur jantina dan acara lain serta mengurangkan kuasa polis agama.

Arab Saudi juga sudah banyak melabur sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam sektor pelancongan, hiburan dan sukan walaupun tindakan keras terhadap perbezaan pendapat masih kekal. - AFP

Berita Harian X