Selasa, 21 Disember 2021 | 11:17am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

China gubal peraturan baharu perlindungan gangguan seksual

BEIJING: Badan penggubal undang-undang tertinggi China membahaskan undang-undang untuk memberi lebih perlindungan kepada wanita terhadap diskriminasi jantina dan gangguan seksual di tempat kerja.

Menurut media kerajaan, peraturan itu turut menggariskan definisi yang lebih jelas mengenai tingkah laku tidak wajar membabitkan gangguan seksual.

Rangkaian televisyen negara itu, CCTV melaporkan jawatankuasa tetap parlimen negara itu, Kongres Rakyat Kebangsaan, membincangkan draf pindaan Undang-Undang Perlindungan Hak dan Kepentingan Wanita.

Langkah itu dibuat ketika China meneroka cara mengekalkan tenaga buruh ketika populasinya menunjukkan penurunan dan selepas aktivis meminta kesaksamaan jantina yang dituntut melalui gerakan #MeToo.

China menduduki tempat ke-107 dalam kalangan 153 negara dalam ranking tahunan Forum Ekonomi Dunia mengenai kesaksamaan jantina global.

Lelaki mendominasi jawatan tertinggi dalam politik dan perniagaan.

Satu perempat daripada Parlimen China dianggotai wanita dan hanya ada seorang wanita dalam 25 anggota Biro Politik Parti Komunis China.

Di bawah peraturan baharu itu, majikan tidak akan dibenarkan bertanya kepada pemohon pekerjaan wanita jika mereka berhasrat untuk berkahwin atau hamil, atau meminta mereka menjalani ujian kehamilan, kata CCTV.

CCTV adalah sebahagian daripada jabatan publisiti kerajaan China yang menjadi saluran rasmi untuk parti dan kerajaan mengeluarkan maklumat.

Namun, ia tidak mengulas lanjut mengenai undang-undang yang dicadangkan itu.

Dalam masa yang sama masih tidak jelas bila undang-undang itu boleh diluluskan, lapor agensi berita CNA.

Perbincangan itu dijangka berterusan sehingga Jumaat dan draf itu mungkin tidak akan diundi sebelum itu.

Mengikut peraturan baharu itu, majikan didapati melanggar undang-undang jika mereka menyekat kakitangan wanita daripada berkahwin atau mempunyai anak, atau jika mereka secara jelas mengutamakan calon lelaki berbanding wanita.

Dalam takrifan paling jelas mengenai gangguan seksual di China, draf pindaan menetapkan adalah menyalahi undang-undang untuk merendahkan wanita menggunakan ungkapan lisan dengan nada seksual, tingkah laku badan yang tidak sesuai atau tidak perlu, imej seksual yang eksplisit atau membayangkan faedah sebagai pertukaran untuk hubungan intim atau seks.

Pergerakan #MeToo China digerakkan pada 2018 apabila seorang pelajar kolej di Beijing secara terbuka menuduh profesornya melakukan gangguan seksual.

Gerakan itu mendapat sokongan pertubuhan bukan kerajaan, media dan industri lain namun kurang mendapat sambutan apabila mahkamah pada September lalu tidak memihak kepada plaintif dalam kes gangguan seksual berprofil tinggi itu. - AGENSI

Berita Harian X