Sabtu, 18 Disember 2021 | 5:42pm
Anggota penyelamat membawa keluar seorang pelombong yang diselamatkan dari lombong arang batu yang tenggelam akibat banjir di bandar Xiaoyi di Shanxi, utara China. - Foto AFP
Anggota penyelamat membawa keluar seorang pelombong yang diselamatkan dari lombong arang batu yang tenggelam akibat banjir di bandar Xiaoyi di Shanxi, utara China. - Foto AFP

Lombong arang batu banjir, 2 maut, 20 diselamatkan

BEIJING: Dua pekerja ditemui maut, manakala 20 lagi diselamatkan semalam dari lombong arang batu yang ditenggelami air, selepas dua hari operasi menyelamat dijalankan.

Usaha mencari besar-besaran dilancarkan selepas lombong haram di wilayah Shanxi, pengeluar arang batu di utara China itu dilanda banjir lewat Rabu lalu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa berikrar untuk membanteras operasi haram yang semakin berleluasa, susulan lonjakan harga bahan api itu.

Media China sebelum ini melaporkan, 21 orang terperangkap dalam lombong di bandar Xiaoyi, di mana ratusan pekerja penyelamat menggunakan pam untuk mengeluarkan air.

Kementerian Pengurusan Kecemasan China, dalam satu kenyataan, berkata 20 pekerja lombong sudah dibawa ke permukaan dan dua pekerja meninggal dunia, pada petang semalam.

"Wilayah Shanxi (mesti) segera mengatur siasatan dan mengumpul bukti selain menggerakkan usaha sepenuhnya untuk mencari penjenayah serta bertanggungjawab mematuhi undang-undang dan peraturan," katanya.

Kementerian itu berkata, wilayah berkenaan perlu bertindak keras terhadap kegiatan aktiviti perlombongan haram.

Semalam, kerajaan tempatan mengumumkan tiga pegawai tertinggi bandar Xiaoyi termasuk datuk bandar disingkirkan daripada jawatan mereka akibat kemalangan perlombongan.

Stesen penyiaran tempatan, CCTV, memaklumkan pintu masuk yang sempit dan tersembunyi ke lombong haram itu menghalang usaha menyelamat selain ketiadaan peta tapak lombong yang betul.

Tujuh suspek sudah ditahan susulan kemalangan itu dan polis berkata mereka sedang mencari individu lain, termasuk pemilik lombong yang dilaporkan sudah melarikan diri selepas kemalangan itu oleh penduduk kampung tempatan.

China menjana kira-kira 60 peratus tenaga daripada pembakaran arang batu dan meningkatkan pengeluaran sejak beberapa bulan lalu bagi mengelakkan kekurangan tenaga yang menyebabkan bekalan elektrik terputus dan kilang terpaksa ditutup.

Khamis lalu, pihak berkuasa berkata, permintaan yang tinggi terhadap arang batu menyebabkan kenaikan harga bahan api itu dan kes perlombongan haram berleluasa.

Jawatankuasa Keselamatan Kerja Majlis Negeri dan Kementerian Pengurusan Kecemasan menggesa wilayah pengeluar arang batu supaya menyiasat lombong haram dan mereka yang terbabit didakwa di mahkamah. - AFP

Berita Harian X