Sabtu, 18 Disember 2021 | 4:41pm
Vaksin COVID-19 Sinovac keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China. - Foto NSTP
Vaksin COVID-19 Sinovac keluaran Sinovac Life Sciences Co Ltd China. - Foto NSTP

3 dos vaksin Sinovac tingkat keberkesanan hingga 94 peratus

BEIJING: kajian terbaru menunjukkan tiga dos vaksin keluaran syarikat biotech Sinovac mampu menghasilkan antibodi peneutralan sehingga 94 peratus terhadap varian COVID-19 Omicron.

Global Times melaporkan, penghasilan antibodi peneutralan dalam tubuh manusia adalah pada kadar 35 peratus selepas dua dos suntikan.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Global Times, hasil kajian itu membabitkan 20 individu yang menerima dua dos suntikan dan 48 individu lain yang menerima tiga dos suntikan vaksin keluaran Sinovac.

Tujuh daripada kumpulan pertama pertama dan 45 daripada kumpulan kedua didapati positif dalam meneutralkan antobodi menentang varian omicron.

Sinovac berkata kajian pemberian dos penggalak adalah sangat berkesan terhadap varian Omicron yang mudah menular.

Varian terbabit, yang pertama kali dikenal pasti pada November lalu, kini sudah menular ke lebih 77 negara dan wilayah, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Britain melaporkan kes kematian pertama membabitkan varian berkenaan pada Isnin lalu dan ia dilaporkan lebih mudah tersebar dan mampu menembusi perlindungan imun yang dibina oleh vaksin.

Kajian Sinovac dibuat berdasarkan dua sampel varian Omicron dari Hong Kong dan kajian terperinci sedang dilakukan bagi mendapat hasil yang lebih menyeluruh.

Vaksin CoronaVac keluaran Sinovac adalah antara yang paling banyak digunakan di seluruh dunia.

Ia juga adalah antara dua jenis vaksin yang menerima kelulusan penggunaan kecemasan oleh WHO. - AGENSI

Berita Harian X