Khamis, 16 Disember 2021 | 5:45pm
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. - Foto AFP
Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. - Foto AFP

Korea Utara cuba sembunyikan hukuman mati

SEOUL: Korea Utara cuba menghalang dunia luar mengetahui mengenai pelaksanaan hukuman mati secara terbuka dalam beberapa tahun kebelakangan ini, membayangkan maklum balas Pyongyang terhadap balas terhadap penelitian antarabangsa mengenai rekod hak asasi manusianya.

Kumpulan Kerja Keadilan Peralihan (TJWG), kumpulan penyelidik berpangkalan di Seoul, menganalisis imej satelit dan mengumpul keterangan mengenai 23 hukuman mati awam semasa era Kim Jong Un, yang mengambil alih kuasa sedekad lalu selepas kematian bapanya pada Disember 2011.

Menurut laporan TJWG, pelarian Korea Utara berkata, hukuman mati dilakukan di tapak yang dipantau rapi dengan pihak berkuasa untuk memastikan tiada maklumat keluar.

"Penutupan hampir keseluruhan sempadan Korea Utara semasa pandemik COVID-19 telah mengurangkan dengan ketara maklumat yang keluar dari negara itu, menjadikannya sukar untuk mendokumentasikan pelanggaran hak asasi dalam tempoh itu," menurut TJWG.

Pengarang utama laporan itu, Ahyeong Park, berkata organisasi itu menilai dengan teliti maklumat untuk konsistensi, hanya memilih mereka yang didapati paling boleh dipercayai.

Sementara itu, menurut organisasi bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai misi untuk mendokumentasikan pelanggaran hak asasi manusia dan mencari keadilan untuk mangsa, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Korea Utara secara strategik memilih tempat-tempat yang jauh dari kawasan sempadan untuk melakukan hukuman mati itu.

"Pemantauan dan kawalan penonton yang berada di acara ini diperketatkan untuk mengelakkan maklumat mengenai hukuman mati awam daripada bocor di luar negara.

"Hasil penemuan kami, ia menunjukkan bahawa rejim Kim (Jong Un) memberi lebih perhatian kepada isu hak asasi manusia sebagai tindak balas kepada peningkatan penelitian antarabangsa,"menurut NGO itu.

Human Rights Watch turut menyuarakan kebimbangan itu dan menuduh Jong Un mengasingkan negara lebih daripada sebelum ini melalui langkah yang tidak perlu dan melampau.

Pyongyang sekian lama dituduh menggunakan hukuman bunuh bagi menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduknya dan Jomg Un telah menghukum mati pembantu utama termasuk bapa saudaranya yang berkuasa, Jang Song Thaek pada 2013. - AFP

Berita Harian X