Khamis, 16 Disember 2021 | 1:08pm
- Hiasan. FOTO AFP
- Hiasan. FOTO AFP

Korea Selatan perkenal semula perintah sekatan

SEOUL: Korea Selatan melaksanakan semula perintah sekatan COVID-19 ke atas perniagaan dan mengehadkan saiz perhimpunan berikutan peningkatan kes jangkitan.

Langkah itu juga memaksa kerajaan menangguhkan rancangan untuk mengamalkan 'cara hidup bersama' COVID-19.

Di bawah peraturan baharu yang berkuat kuasa Sabtu ini bagi tempoh dua minggu, restoran, kafe dan tempat hiburan waktu malam perlu ditutup pada jam 9 malam.

Saiz perhimpunan kecil dihadkan kepada empat orang dan mereka yang layak menerima suntikan penggalak diarahkan mendapatkannya secepat mungkin.

Namun, tempat awam lain seperti pawagam dan dewan konsert dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam.

"Kita akan dapat mengatasi saat genting ini jika kita cepat mengawal penularan melalui langkah penjarakan sosial yang ketat," kata Perdana Menteri, Kim Boo-kyum ketika mengumumkan sekatan baharu itu, hari ini.

Jangkitan harian baharu dikesan meningkat lebih daripada tiga kali ganda dengan 7,850 kes dilaporkan semalam dan pihak berkuasa memberi amaran ia mungkin meningkat kepada 20,000 kes bulan depan.

Bulan lalu, kerajaan melonggarkan sekatan seperti memansuhkan had masa perniagaan dibuka untuk membantu meningkatkan semula ekonomi terjejas akibat COVID-19.

Lebih 80 peratus penduduk Korea Selatan menerima vaksin lengkap sepenuhnya tetapi pihak berkuasa belum mengeluarkan data jumlah jangkitan baharu termasuk jumlah dijangkiti selepas menerima vaksin. - AFP

Berita Harian X