Khamis, 16 Disember 2021 | 12:10pm
- FOTO AFP
- FOTO AFP

Tentera Syria terbunuh dalam serangan Israel

DAMSYIK: Seorang tentera Syria terbunuh dalam serangan peluru berpandu dari Bukit Golan, selatan negara ini, hari ini.

Agensi SANA memetik sumber tentera melaporkan serangan rejim ditujukan ke beberapa kedudukan di selatan Syria.

"Kira-kira jam 12.50 tengah malam, Israel melancarkan serangan udara dengan beberapa peluru berpandu diarahkan ke kawasan dikuasai Syria di Golan," katanya laporan itu.

Pertahanan udara Syria berjaya menangkis serangan itu dengan menembak jatuh beberapa peluru berpandu, namun ia tetap menyebabkan kematian tentera terbabit dan kerosakan.

Awal bulan ini, Israel turut melancarkan serangan terhadap penghantaran senjata Iran di pelabuhan Latakia, barat Syria tetapi tidak menyebabkan kecederaan.

Akhir bulan lalu, tiga tentera dan dua pejuang Syria yang mempunyai hubungan dengan kumpulan Syiah Lubnan, Hizbullah terbunuh dalam serangan Israel.

Sejak perang tercetus pada tahun 2011, Israel melancarkan ratusan serangan udara terhadap wilayah di Syria, menyasarkan kedudukan penting kerajaan yang mempunyai rangkaian dengan Iran dan Hizbullah.

Namun, jurucakap tentera Israel enggan mengulas serangan berkenaan, sebaliknya menegaskan tidak akan membenarkan pengaruh Iran bertapak di Syria.

Konflik di Syria setakat ini mengorbankan 500,000 nyawa sejak tahun 2011 yang menyaksikan kekejaman terus menguasai negara berkenaan. - AFP

Berita Harian X