Rabu, 15 Disember 2021 | 8:49am
Kaligrafi Arab diisytiharkan sebagai senarai Warisan Budaya Turun Temurun oleh UNESCO. - Foto AFP
Kaligrafi Arab diisytiharkan sebagai senarai Warisan Budaya Turun Temurun oleh UNESCO. - Foto AFP

Kaligrafi Arab dimasukkan dalam senarai warisan UNESCO

DUBAI: Kaligrafi Arab diisytiharkan sebagai Warisan Budaya Turun Temurun oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Sebanyak 16 negara majoriti Islam diketuai Arab Saudi membentangkan pencalonan tulisan utama dalam dunia Arab dan Islam itu kepada UNESCO, yang mana senarai terpilih diumumkan di Twitter.

"Khat Arab ialah amalan seni menulis tulisan Arab dengan cara yang lancar untuk menyampaikan keharmonian, keanggunan dan keindahan.

"Kelancaran skrip Arab menawarkan kemungkinan yang tidak terhingga, walaupun dalam satu perkataan, kerana huruf boleh diregangkan dan diubah dalam pelbagai cara untuk mencipta motif berbeza," kata pertubuhan itu dalam laman sesawangnya.

Menteri Kebudayaan Arab Saudi, Putera Badr bin Abdullah bin Farhan Al-Saud mengalu-alukan keputusan itu dan berkata ia akan 'menyumbang kepada pembangunan warisan budaya ini'.

Abdelmajid Mahboub dari Persatuan Pemeliharaan Warisan Arab Saudi, yang terbabit dalam cadangan itu, berkata kaligrafi itu 'selalu berkhidmat sebagai simbol dunia Arab-Islam'.

"Namun, ketika ini ramai orang tidak lagi menulis dengan tangan kerana kemajuan teknologi dan bilangan artis kaligrafi Arab berkurangan dengan mendadak.

"Penyenaraian UNESCO ini sudah tentu akan memberi kesan positif dalam memelihara tulisan tradisi ini," katanya.

Menurut laman sesawang UNESCO, warisan budaya turun temurun adalah faktor penting dalam mengekalkan kepelbagaian budaya dalam menghadapi globalisasi yang semakin meningkat.

Kepentingannya bukan manifestasi budaya itu sendiri tetapi kekayaan pengetahuan dan kemahiran yang dihantar melaluinya dari satu generasi ke generasi berikutnya. - AFP

Berita Harian X