Selasa, 14 Disember 2021 | 9:01am
 Foto hiasan - AGENSI
Foto hiasan - AGENSI

Tanpa pelitup muka, India berisiko dilanda gelombang baharu

NEW DELHI: India melaporkan jumlah terendah kes aktif COVID-19 dalam tempoh 18 bulan pada Isnin tetapi wujud kebimbangan peningkatan jangkitan varian Omicron berikutan penurunan mendadak pemakaian pelitup muka.

Kelihatan ramai yang berdiri atau duduk berdekatan antara satu sama lain tanpa memakai pelitup muka atau hanya meletakkannya di dagu pada perhimpunan besar anjuran parti politik di beberapa negeri sebelum berlangsung pilihan raya.

Keadaan itu menyamai suasana sebelum varian Delta menular dan memusnahkan India sejak April lalu.

Sehingga Isnin lalu, India merekodkan jumlah kes aktif COVID-19 sebanyak 91,456, terendah dalam tempoh 561 hari, menurut Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun kes varian Omicron meningkat kepada sekurang-kurangnya 36 kes di India, dan menyumbang tiga peratus daripada jujukan virus yang dianalisis di negara itu dalam tempoh dua minggu lalu, dengan bakinya disumbang oleh varian Delta.

Pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai untuk menggunakan pelitup muka ketika berada di khalayak ramai.

"Graf penggunaan pelitup muka yang semakin menurun boleh meletakkan kita dalam risiko," kata pegawai kesihatan India, Vinod Kumar Paul pada taklimat baru-baru ini.

"Pelitup muka adalah vaksin universal, berfungsi pada setiap varian."

Tahap pemakaian pelitup muka di khalayak ramai menurun ke tahap terakhir dilihat pada Mac, sebelum berlakunya gelombang kedua, berdasarkan data daripada Institut Metrik dan Penilaian Kesihatan.

Pemakaian pelitup muka semasa dianggarkan pada 59 peratus, hampir sama pada Mac, setelah memuncak pada 81 peratus pada Mei.

Negara itu melaporkan 7,350 kes baharu COVID-19 pada hari Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan 34.69 juta kes. Kematian meningkat sebanyak 202 kepada 475,636 kes. - AGENSI

Berita Harian X