Isnin, 13 Disember 2021 | 1:31pm
kakitangan perubatan memberi vaksin polio kepada kanak-kanak di sebuah kawasan setinggan di Lahore, Pakistan. - Foto AFP
kakitangan perubatan memberi vaksin polio kepada kanak-kanak di sebuah kawasan setinggan di Lahore, Pakistan. - Foto AFP

Anggota polis kawal pemberi vaksin polio ditembak mati

PESHAWAR: Seorang anggota polis mengawal keselamatan pasukan vaksinasi polio di barat daya Pakistan, Khyber Pakhtunkhwa, ditembak mati semalam, pembunuhan kedua seumpamanya dalam tempoh dua hari.

Ketua polis daerah Tank, Sajjad Khan, berkata dua penembak menunggang motosikal melepaskan tembakan ke arah seorang anggota polis yang sedang mengawal dua anggota wanita pasukan vaksinasi polio di kawasan Sheikh Uttar.

"Menurut seorang lagi pegawai polis, Amanat Ali, mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala pembunuh dapat melarikan diri," katanya kepada AFP.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu, yang berlaku sehari selepas satu serangan yang didakwa dilakukan Taliban Pakistan.

Dalam serangan itu, dua lelaki menembak mati seorang anggota polis yang sedang mengawal pasukan vaksinasi di kawasan sama.

Pada Jumaat lalu, militan menamatkan gencatan senjata dengan kerajaan Pakistan, dibantu Taliban Afghanistan sebagai orang tengah, selepas menuduh pihak berkuasa melanggar syarat gencatan senjata selama sebulan itu.

Mengikut mesej audio yang dikeluarkan ketua Taliban Pakistan, Noor Wali Mehsud pada Jumaat lalu, tiada sebarang kemajuan dicapai dalam rundingan baharu dengan kerajaan Pakistan.

Perdana Menteri, Imran Khan, pada Oktober lalu, mengumumkan kerajaan sedang berbincang dengan kumpulan itu buat pertama kali sejak 2014, dibantu Taliban Afghanistan, yang kembal;i berkuasa di negara itu pada Ogos lalu.

Taliban Pakistan adalah sebuah gerakan pemisah berasingan daripada pimpinan baharu Afghanistan, namun berkongsi sejarah sama, yang menjerumuskan Pakistan dalam kancah keganasan mengerikan selepas ditubuhkan pada 2007.

Pengawal polis yang melindungi pasukan vaksinasi di Pakistan sering berdepan serangan sebelum ini, kebanyakannya oleh militan tempatan.

Pakistan adalah satu daripada dua negara di dunia, di mana polio masih menjadi endemik walaupun hanya satu kes dilaporkan tahun ini selepas 84 kes pada 2020, demikian menurut Inisiatif Pembasmian Polio Global.

Bagaimanapun, usaha untuk membasmi penyakit itu dihalang teori konspirasi yang disebarkan kumpulan hak agama radikal, yang mendakwa program vaksinasi adalah sebahagian daripada rancangan Barat untuk menghapuskan umat Islam.

Dakwaan tidak berasas itu menyebabkan ramai ibu bapa, terutama mereka yang mempunyai latar belakang pendidikan rendah, menolak suntikan terhadap anak mereka. - AFP

Berita Harian X