Ahad, 12 Disember 2021 | 1:30pm
- Hiasan (FOTO AFP)
- Hiasan (FOTO AFP)

Tahun 2022 jadi Tahun Kopi Saudi

MAKKAH: Kementerian Kebudayaan Arab Saudi menetapkan tahun 2022 sebagai 'Tahun Kopi Saudi'.

Menteri Kebudayaannya, Putera Badr Bin Abdullah, berkata 'inisiatif' itu menjadi 'payung' kepada semua perayaan berasaskan produk kopi yang menjadi komponen penting dalam budaya negara.

Katanya, pelbagai jenis aktiviti, inisiatif dan acara sepanjang tahun akan diadakan, menandakan perayaan elemen unik itu yang berkait rapat dengan identiti dan budaya kerajaan.

"Sambutan itu diadakan dalam Program Kualiti Hidup, antara program realisasi Wawasan 2030 kerajaan. 'Tahun Kopi Saudi' akan menjadi inisiatif penting untuk semua aspek meraikan komponen utama budaya Saudi.

"Kebanggaan identiti nasional dan unsur budaya yang dikaitkan dengannya adalah antara tugas asas dipikul Kementerian Kebudayaan," katanya.

Sambutan itu adalah sebahagian daripada usaha Kementerian Kebudayaan menonjolkan elemen budaya Saudi, mempersembahkannya sebagai produk budaya tersendiri untuk kerajaan dan memasarkannya di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Ini berdasarkan ciri unik kopi Saudi dalam kalangan masyarakat di semua peringkat pengeluaran, penanaman, penyediaan dan hidangan yang mungkin tidak sama disediakan di negara lain.

Beberapa tahun lalu, ladang biji kopi di Jazan diberi perhatian khusus kerana sokongan kepada petani meningkat dan penjagaan khas diberikan kepada biji kopi Khawlani.

"Ia dijadikan faktor pendorong kepada agensi kerajaan, institusi awam serta kafe tempatan dan antarabangsa untuk menyertainya melalui idea inovatif yang memastikan penawaran kopi Saudi dalam menu dan produk mereka.

Pengkaji serta bekas Ketua Persatuan Kebudayaan dan Kesenian, Abdullah bin Abdullah Al-Saad berkata, kopi tempatan melambangkan perayaan dan kemurahan hati Arab asli.

"Ia adalah minuman lazat dan biasa disajikan kepada tetamu sebagai ungkapan layanan kemurahan hati dan penghormatan," katanya. - AGENSI

Berita Harian X