Sabtu, 11 Disember 2021 | 4:57pm
Vaksin COVID-19 Coronavac (kiri) didapati lebih berkesan jika sela masa antara dos kedua dan dos penggalak lebih lama. - Foto NSTP
Vaksin COVID-19 Coronavac (kiri) didapati lebih berkesan jika sela masa antara dos kedua dan dos penggalak lebih lama. - Foto NSTP

Sela masa lebih lama tingkat keberkesanan vaksin penggalak Sinovac

SHANGHAI: Sela masa lebih lama antara dos kedua dan dos penggalak vaksin Sinovac COVID-19 menambah keberkesanan vaksin buatan China itu.

Menurut kajian diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet, perlindungan terhadap coronavirus meningkat ketara jika melengahkan lebih lama berbanding menunggu tempoh singkat bagi mendapatkan dos penggalak.

Tahap antibodi terhadap individu yang menerima dos ketiga lapan bulan selepas dos kedua, meningkat dua kali ganda berbanding penerima suntikan penggalak dalam tempoh dua bulan selepas dos kedua mereka.

Hasil kajian itu dikemukakan penyelidik dari Sinovac Biotech, Universiti Fudan serta beberapa Pusat Serantau untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit.

Kajian itu mendapati, walaupun perlindungan daripada COVID-19 enam bulan selepas dua dos vaksin dikenali sebagai CoronaVac 'turun dengan ketara', dos ketiga pada lapan bulan menghasilkan 'peningkatan luar biasa' pengumpulan antibodi.

Penemuan itu diperoleh ketika negara-negara di seluruh dunia mempercepatkan pengambilan dos penggalak kerana banyak negara kini bergelut dengan varian Omicron baharu yang dikatakan lebih mudah berjangkit.

Walaupun beberapa negara seperti Korea Selatan mengurangkan jurang masa penggalak kepada hanya tiga bulan selepas dos kedua, strategi yang disokong oleh ketua eksekutif BioNTech, Ugur Sahin, ia disifatkan bukan tindakan bijak.

Kajian Lancet menunjukkan, tindakan mempercepatkan dos ketiga mungkin bukan pendekatan terbaik bagi mereka yang menggunakan vaksin tidak aktif seperti Sinovac.

Vaksin keluaran syarikat berpangkalan di Beijing itu paling banyak digunakan di seluruh negara dengan 2.3 bilion dos sudah diagihkan terutama untuk negara sedang membangun.

Selain masih sangat berkesan untuk menangkis penyakit serius dan kematian, ia turut melindung penularan dan penyakit bergejala berbanding vaksin mRNA untuk jujukan asal virus dan varian Delta.

Sinovac kini sedang mengkaji bagaimana vaksin itu bertahan terhadap Omicron.

Menurut Ketua Pakar Imunisasi di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China, Dr Wang Huaqing, pada taklimat November lalu, kira-kira 38 juta orang sudah menerima suntikan penggalak di China.

Hong Kong turut memulakan pemberian dos penggalak mulai 11 November lalu, dengan kumpulan berisiko tinggi menerima vaksin Sinovac.

Kajian yang diterbitkan pada 7 Disember itu juga mendapati individu berusia 60 tahun ke atas memiliki kepekatan antibodi yang lebih tinggi daripada dos ketiga berbanding mereka yang berumur 18 hingga 59 tahun. - AGENSI

Berita Harian X