Sabtu, 11 Disember 2021 | 8:08am
Penduduk berkumpul di sebelah bas mini yang rosak selepas letupan bom yang menyebabkan dua orang terbunuh dan lima cedera di Kabul pada 17 November. - Foto AFP
Penduduk berkumpul di sebelah bas mini yang rosak selepas letupan bom yang menyebabkan dua orang terbunuh dan lima cedera di Kabul pada 17 November. - Foto AFP

2 maut, 4 cedera dalam serangan bom - Taliban

KABUL: Dua maut, manakala empat cedera dalam siri letupan bom berasingan di Kabul semalam, kata kerajaan Taliban, ketika kumpulan pelampau DAESH mengaku bertanggungjawab.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Taliban, Sayed Khosti, berkata dua orang awam maut dan tiga lagi cedera apabila bom meletup di sebuah bas mini di daerah Dasht-e-Barchi di ibu negara Afghanistan.

Katanya, seorang wanita cedera dalam serangan berasingan di kawasan sama, selain menjelaskan letupan kedua juga adalah berpunca daripada bom.

Sebahagian besar Dasht-e-Barchi dihuni masyarakat Hazara, kebanyakannya Syiah, yang menjadi sasaran keganasan DAESH-Khorasan (IS-K) sejak beberapa tahun lalu.

IS-K semalam, mengaku bertanggungjawab ke atas tiga letupan yang menyasarkan bas membawa penumpang Syiah.

Pengeboman itu akhirnya 'memusnahkan bas dan membunuh serta mencederakan puluhan penumpang', menurut mesej kumpulan itu yang diterjemahkan Kumpulan Perisikan SITE, sebuah platform memantau aktiviti jihad.

Kaca pecah dan struktur rosak dilihat berhampiran jalan di mana salah satu letupan berlaku.

Serangan bom serupa ke atas bas mini di Dasht-e-Barchi membunuh dua orang dan mencederakan lima yang lain, dalam serangan yang IS-K turut mengaku bertanggungjawab melakukannya, November lalu. - AFP

Berita Harian X