Jumaat, 10 Disember 2021 | 4:12pm
Petani di India berkongsi manisan bagi meraikan keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, yang beralah bagi memansuhkan undang-undang pertanian baru, sekali gus menamatkan tunjuk perasaan selama hampir setahun. - Foto AFP
Petani di India berkongsi manisan bagi meraikan keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, yang beralah bagi memansuhkan undang-undang pertanian baru, sekali gus menamatkan tunjuk perasaan selama hampir setahun. - Foto AFP

Petani India tamatkan protes besar-besaran selepas setahun

NEW DELHI: Petani India semalam secara rasmi menamatkan protes besar-besaran selama setahun, membantah undang-undang baru sektor pertanian di negara itu.

Keputusan itu dibuat selepas Perdana Menteri, Narendra Modi, akur kepada desakan menolak pembaharuan pertanian, sekali gus meredakan salah satu cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan dipimpinnya.

Beribu-ribu orang berkhemah di pinggir ibu kota New Delhi sejak tahun lalu untuk berkempen menentang undang-undang yang mereka dakwa bakal membawa kepada pengambilalihan korporat dalam sektor terbabit.

Pentadbiran Modi bulan lalu secara tergesa-gesa mengumumkan keputusan memansuhkan undang-undang berkenaan dan wakil petani menyatakan mereka sedia berundur selepas kerajaan bersetuju dengan beberapa tuntutan lain.

"Perpaduan, keamanan dan kesabaran petani adalah kunci kejayaan dan ini tidak akan dibiarkan terhakis dalam apa juga keadaan," kata gabungan kesatuan petani, Samyukta Kisan Morcha, dalam satu kenyataan.

Sejak semalam, kumpulan penunjuk perasaan itu sudah mula membuka khemah sementara mereka di lebuh raya menuju ke ibu negara.

Mereka bercadang menunggu sehingga selesai pengebumian Ketua Pertahanan India, Jeneral Bipin Rawat, yang maut dalam nahas helikopter pada Rabu lalu, sebelum kembali ke kampung halaman mereka pada hujung minggu.

Protes itu dilakukan dalam kumpulan kecil selepas pemansuhan undang-undang, dengan petani memohon konsesi tambahan termasuk pampasan bagi keluarga lebih 700 petani yang dikatakan meninggal dunia ketika protes diadakan.

Kerajaan bersetuju dengan tuntutan itu dan berjanji tidak menjatuhkan hukuman ke atas mereka yang melakukan pembakaran bagi membersihkan ladang iaitu kaedah murah yang menjadi kelaziman sehingga Delhi diselubungi asap setiap kali musim sejuk.

Kira-kira dua pertiga daripada 1.3 bilion penduduk India menyara kehidupan melalui pertanian dan sektor itu sudah lama menjadi mangsa percaturan politik.

Beribu-ribu petani India maut akibat membunuh diri setiap tahun disebabkan kemiskinan, beban hutang dan tanaman terjejas akibat perubahan cuaca yang semakin tidak menentu berikutan kesan perubahan iklim.

Tiga undang-undang pertanian yang dibantah itu diluluskan September tahun lalu, bertujuan menghapus seliaan pasaran hasil ladang, di mana badan kerajaan negeri sejak beberapa dekad menetapkan jaminan harga minimum untuk tanaman.

Bagaimanapun pembaharuan itu menjadi ancaman untuk mencetuskan tentangan terhadap pentadbiran Modi oleh petani, yang mendakwa perubahan itu akan menyebabkan mereka dikongkong syarikat korporat. - AFP

Berita Harian X