Khamis, 9 Disember 2021 | 8:13pm
Gambar hiasan - Foto AFP
Gambar hiasan - Foto AFP

Makkah, Madinah bantu kukuhkan ekonomi Arab Saudi

MAKKAH: Ekonomi Arab Saudi kini bangkit semula daripada kesan pandemik COVID-19 dan yakin dapat bantu kukuhkan pelbagai sektor yang terjejas teruk.

Menteri Haji dan Umrah, Dr Tawfiq Al-Rabiah, berkata tanda-tanda pengukuhan ekonomi sudah mula kelihatan terutama sektor yang berkaitan ibadah haji dan umrah.

"Kerajaan Arab Saudi mengambil segala langkah perlu bagi memastikan keselamatan semua penduduk, warga asing dan jemaah haji serta umrah yang berkunjung ke sini.

"Saya harap ini dapat merancakkan semula sektor berkaitan haji dan umrah yang terjejas paling teruk akibat ancaman coronavirus," katanya ketika perjumpaan dengan usahawan dan pelabur sektor haji serta umrah baru-baru ini.

Tambah beliau, sebahagian besar sektor ekonomi di Makkah dan Madinah terjejas paling teruk kerana pandemik COVID-19 memaksa ibadah umrah dan haji ditangguhkan sementara.

Al-Rabiah juga menekankan bahawa sektor swasta dan kerajaan perlu bekerjasama bagi memanfaatkan peluang yang wujud ketika ibadah haji dan umrah dapat kembali diteruskan seperti biasa.

"Selaras usaha ini, khidmat menunaikan haji dan umrah akan diperluaskan serta ditambah baik demi keselesaan jemaah menunaikan rukun Islam kelima atau yang berkunjung ke Masjid Nabawi dan Masjidil Haram.

"Kerajaan menerima sektor swasta sebagai rakan strategik bagi membangunkan Makkah dan Madinah, sekali gus menawarkan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah dan haji serta pengunjung lain.

Kata Al-Rabiah, kementeriannya sudah menubuhkan unit khas bagi menyokong inisiatif keusahawanan, yang akan bekerjasama dengan Dewan Perniagaan dan Industri Makkah bagi menawarkan khidmat terbaik kepada semua pengunjung. - AGENSI

Berita Harian X