BAIKONUR (KAZAKHSTAN): Russia akan menghantar jutawan Jepun, Yusaku Maezawa, ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), Rabu ini, sekali gus menunjukkan Moscow kembali bergiat dalam perniagaan pelancongan angkasa selepas berhenti selama sedekad.
Maezawa, 46 - antara individu terkaya di Jepun - akan berlepas dari kosmodrom Baikonur di Kazakhstan bersama pembantunya, Yozo Hirano.
Pagi semalam, wartawan AFP melihat kapal angkasa Soyuz dengan bendera Jepun dan logo 'MZ' yang mewakili nama Maezawa, dibawa ke pelantar pelancar dalam keadaan cuaca basah.
Misi itu bakal menamatkan pemberhentian sementara program pelancongan angkasa Russia yang tidak menerima pelancong lain selepas pengasas bersama syarikat Cirque du Soleil, Guy Laliberte dari Kanada pada 2009.
Bagaimanapun untuk kali pertama dalam sejarah, agensi angkasa Russia, Roscosmos menghantar pelakon, Yulia Peresild, bersama pengarah, Klim Shipenko, ke ISS pada Oktober lalu bagi merakamkan babak filem pertama di orbit, dalam usaha untuk mengatasi projek pesaing di Hollywood.
Kapal angkasa Soyuz dilengkapi tiga tempat duduk itu akan dikemudikan oleh angkasawan Russia, Alexander Misurkin, 44, yang berpengalaman terbabit dua misi ke ISS sebelum ini.
Maezawa dan Hirano dijadualkan berada di ISS selama 12 hari, di mana mereka merancang untuk mendokumenkan pengembaraan itu bagi saluran YouTube Maezawa yang memiliki 750,000 pengikut.
Menurut Forbes, taikun berkenaan adalah pengasas pusat beli-belah fesyen dalam talian yang terbesar di Jepun, selain ke-30 terkaya di negara ini. - AFP