Ahad, 5 Disember 2021 | 7:31am
- Hiasan. FOTO AFP
- Hiasan. FOTO AFP

Australia vaksin kanak-kanak Januari ini

SYDNEY: Australia meluluskan pemberian suntikan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, dengan suntikan dijangka akan bermula 10 Januari ini.

Langkah itu sebagai mengikuti tindakan sama dibuat Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), Israel dan Kanada.

Menteri Kesihatan, Greg Hunt berkata, penguatkuasa kesihatan memberi kelulusan sementara untuk vaksin Pfizer-BioNTech diberikan kepada kanak-kanak.

Hunt berkata, vaksinasi 2.3 juta kanak-kanak akan bermula pada 10 Januari ini, tertakluk kepada kelulusan daripada badan penasihat imunisasi negara.

"Ia disyorkan untuk kanak-kanak di seluruh Australia. Ini bagi memastikan anak-anak kita, keluarga kita dan semua warga Australia selamat," katanya.

Agensi Kawal Selia Pentadbiran Barangan Terapeutik, berkata kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun akan menerima dos vaksin lebih kecil berbanding orang berumur 12 tahun dan ke atas.

Ketua agensi itu, John Skerritt berkata, beliau yakin dengan keberkesanan dan keselamatan formula itu.

"Ia sudah diuji secara klinikal secara meluas," katanya.

Hampir 93 peratus warga Australia berumur lebih 16 tahun menerima dos vaksin pertama, dengan 88 peratus daripada populasi menerima dua dos.

Dos penggalak juga diluluskan pada Oktober lalu dan orang ramai digalakkan menerima suntikan ketiga mereka selepas enam bulan menerima dua suntikan lengkap. - AFP

Berita Harian X