Jumaat, 3 Disember 2021 | 8:51pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

10 termasuk orang awam maut dalam serangan di Iraq

ARBIL: Sekurang-kurangnya tiga orang awam dan tujuh pejuang peshmerga Kurd terbunuh dalam serangan di utara Iraq hari ini.

Tentera Iraq, dalam satu kenyataan, mendakwa serangan di perkampungan Khidir Jija dekat selatan Arbil semalam yang turut menyaksikan tiga orang awam terbunuh, didalangi kumpulan Daesh.

Pejuang peshmerga iaitu tentera bersenjata puak Kurd, melancarkan operasi sebagai tindak balas kepada serangan terdahulu Daesh dan tujuh pejuang terbunuh apabila sebuah alat letupan yang ditanam oleh kumpulan itu meletup.

Tiga yang terbunuh adalah adik beradik berusia 11 hingga 24 tahun yang juga anak kepada penduduk kampung di situ, kata seorang anggota keluarga kepada AFP.

Daesh merampas sebahagian besar Iraq dalam serangan mengejut pada 2014, sebelum diserang kembali menerusi kempen menentang pemberontakan yang disokong pakatan tentera diketuai Amerika Syarikat (AS).

Kerajaan Iraq mengisytiharkan puak Sunni tewas pada hujung 2017 tetapi pejuangnya terus melancarkan serangan hendap terhadap pasukan keselamatan.

Pada hujung bulan lalu, lima pejuang peshmerga Kurd terbunuh manakala empat lagi cedera dalam letupan bom, yang turut diakui dilakukan oleh Daesh.

Letupan bom di selatan bandar Sulaimaniyah menggambarkan ancaman serius kumpulan Daesh yang masih berlaku di wilayah autonomi Kurdi, Iraq, menurut perdana menteri ketika itu, Masrour Barzani. - AFP

Berita Harian X