Selasa, 30 November 2021 | 4:17pm
Penunjuk perasaan menghadiri perhimpunan menentang gangguan seksual dan ketidaksamaan jantina di hadapan bangunan Parlimen di Canberra, Australia pada 15 Mac 2021. - Foto AFP
Penunjuk perasaan menghadiri perhimpunan menentang gangguan seksual dan ketidaksamaan jantina di hadapan bangunan Parlimen di Canberra, Australia pada 15 Mac 2021. - Foto AFP

'Satu dalam tiga' kakitangan parlimen Australia alami ganggu seksual

SYDNEY: Satu siasatan berprofil tinggi mengenai budaya seksis di Parlimen Australia mendapati berlakunya gangguan seksual dan buli yang berleluasa di institusi berkenaan.

Laporan hasil siasatan selama tujuh bulan itu yang dibiayai kerajaan itu memaklumkan satu daripada tiga orang yang kini bekerja di parlimen 'pernah mengalami beberapa bentuk gangguan seksual semasa bekerja di sana'.

"Gangguan seksual itu turut membabitkan 63 peratus ahli parlimen wanita negara itu.

"Dalam satu kes, seorang ahli politik lelaki yang bercita-cita tinggi dengan rasa tidak bersalah, memikat anda, mencium bibir anda, memuji anda, menyentuh anda, menepuk bahagian bawah, membuat komen mengenai penampilan dan ia terlihat seperti suatu kebiasaan... budaya itu seakan dibenarkan," kata salah seorang daripada 1,700 orang yang ditemu bual, menurut laporan itu.

Laporan itu mengemukakan 28 cadangan, termasuk penyataan rasmi pengakuan oleh pemimpin politik, menyasarkan untuk meningkatkan kepelbagaian jantina dan 'fokus proaktif terhadap keselamatan dan kesejahteraan'.

Ia dilancarkan di tengah-tengah kemarahan yang meluas terhadap dakwaan merogol kakitangan parlimen Brittany Higgins di dalam pejabat menteri, selepas beliau keluar malam bersama rakan-rakan Parti Liberal yang konservatif.

Dalam dakwaannya - yang mana kes masih dihadapkan ke mahkamah - mencetuskan demonstrasi di seluruh negara dan menuntut pembaharuan.

Selasa lalu, Higgins mengalu-alukan laporan itu dan berterima kasih kepada 'orang yang berani yang berkongsi cerita mereka yang menyumbang kepada laporan berkenaan'.

"Saya berharap semua parti politik bukan saja komited tetapi melaksanakan cadangan ini sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar melalui Universiti Nasional Australia, tempat beliau bertugas sebagai felo pelawat.

Senator Greens Sarah Hanson-Young menyifatkan laporan itu sebagai 'pendedahan budaya seksis dan gangguan dalam politik'.

"Statistik dan komen ini mengejutkan, tetapi bagi kebanyakan wanita di sini, mereka tidak terkejut kerana apa yang dikongsikan adalah pengalaman kami sendiri," katanya. - AFP

Berita Harian X