Isnin, 29 November 2021 | 8:19pm
Ribuan penunjuk perasaan merusuh dan cuba menggulingkan sebuah kenderaan yang dibakar berhampiran balai polis di mana seorang lelaki dituduh membakar al-Quran ditahan di Charsadda, wilayah Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan. - Foto AFP
Ribuan penunjuk perasaan merusuh dan cuba menggulingkan sebuah kenderaan yang dibakar berhampiran balai polis di mana seorang lelaki dituduh membakar al-Quran ditahan di Charsadda, wilayah Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan. - Foto AFP

Perusuh Pakistan bakar balai polis

PESHAWAR: Beribu orang menyerbu balai polis dan membakar pos pemeriksaan ketika menuntut pegawai menyerahkan seorang lelaki yang dituduh membakar al-Quran.

Menurut polis, kira-kira 5,000 orang mengepung balai polis di bandar Charsadda di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa semalam dan turut membakar lebih 30 kereta.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asif Bahadur, kira-kira 2,000 orang terus berkumpul di luar balai polis dan membakar pakaian seragam pegawai.

"Perusuh menyerbu balai polis meminta menyerahkan lelaki itu supaya mereka boleh membakarnya hidup-hidup seperti dia membakar al-Quran.

"Identiti atau agama tertuduh belum didedahkan polis dan kami masih menyiasat motif di sebalik membakar naskhah al-Quran," katanya kepada AFP.

Isu berkaitan agama sangat sensitif di Pakistan, negara dengan majoriti penduduk Islam, yang mana dakwaan palsu sudah memadai bagi mencetuskan rusuhan dan keganasan.

Kumpulan hak asasi manusia berkata undang-undang negara sering diketepikan untuk serangan balas dendam peribadi, dengan kumpulan minoriti menjadi sasaran.

Pada 2014, sepasang suami isteri beragama Kristian digantung kemudian mayat mereka dibakar di dalam relau di Punjab selepas dituduh mencemarkan al-Quran, namun tiada bukti dikemukakan.

Seorang bekas gabenor Punjab, Salman Taseer, ditembak mati oleh pengawal peribadinya, Mumtaz Qadri, di Islamabad pada 2011 kerana menggesa pembaharuan undang-undang fitnah.

Pembunuhan kejam itu menyaksikan Qadri dinobatkan sebagai pahlawan oleh kumpulan pejuang Islam.

Seorang wanita Kristian Pakistan, Asia Bibi dan seorang buruh dari wilayah Punjab tengah, disabitkan dengan tuduhan murtad pada 2010 dan dikenakan hukuman mati tetapi dibebaskan pada 2018.

Ia menyebabkan berlakunya demonstrasi yang ganas selama beberapa hari dianjurkan kumpulan radikal pejuang agama Islam, menyebabkan wanita berkenaan dan keluarganya melarikan diri ke Kanada.

Pakistan sering lumpuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini akibat protes anti-murtad yang dilakukan parti Tehreek-e-Labbaik Pakistan.

Parti sama turut menjadi penganjur protes besar-besaran membantah penerbitan kartun yang menggambarkan Nabi Muhammad oleh majalah satira Perancis, Charlie Hebdo. - AFP

Berita Harian X