Jumaat, 26 November 2021 | 6:25pm
Gambar menunjukkan bas yang terbabit dalam kemalangan berdekatan bandar Al-Yutamah, sekitar 90 kilometer dari bandar Madinah. - Foto Bulan Sabit Merah Arab Saudi
Gambar menunjukkan bas yang terbabit dalam kemalangan berdekatan bandar Al-Yutamah, sekitar 90 kilometer dari bandar Madinah. - Foto Bulan Sabit Merah Arab Saudi

4 maut, 48 cedera nahas bas di Madinah

RIYADH: Satu kemalangan membabitkan sebuah bas dengan trak di Arab Saudi meragut nyawa empat mangsa, menurut pihak berkuasa hari ini.

Bas terbabit, yang membawa 45 penumpang bertembung dengan sebuah trak di lebuh raya Al-Hjirah di wilayah Madinah.

Kemalangan itu berlaku berdekatan bandar Al-Yutamah, sekitar 90 kilometer dari bandar Madinah, lapor Arab News.

Sesetengah mereka yang mengalami kecederaan dirawat di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital tempatan.

Operasi pelbagai wilayah untuk menguruskan insiden itu membabitkan lebih 20 ambulans dan unit jagaan lanjut dari Madinah, disokong oleh lapan unit dari Makkah dan lagi tiga dari Qassim, menurut Khaled Al-Sehali, seorang jurucakap Penguasa Bulan Sabit Merah Arab Saudi.

Akhbar Okaz melaporkan, ambulans dihubungi pada jam 11:27 malam semalam tetapi pihak berkuasa belum mengesahkan jam berapa sebenarnya kemalangan berlaku.

Laluan sibuk itu, yang menjalani kerja pembaikan lebih dua tahun lalu adalah salah satu hubungan darat utama antara Makkah dengan Madinah.

Jemaah sering menggunakan laluan itu untuk menziarahi Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Gambar mengenai kejadian itu menunjukkan bas berwarna merah dengan kerosakan teruk pada bahagian depan kanan dan tepi, cermin depan pula remuk.

Pada 2019, 35 jemaah maut di lebuh raya yang sama berdekatan kampung Al-Akhal selepas sebuah bas bertembung dengan sebuah kenderaan pengangkut.

Penumpang bas adalah golongan ekpatriat dari Arab Saudi dan adalah warga Asia dan Arab.

Arab Saudi mencatatkan 12,317 kematian disebabkan kemalangan trafik pada 2019, menurut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lapor Arab News. - AGENSI

Berita Harian X