Khamis, 25 November 2021 | 8:57pm
Tiga hakim Lubnan meletak jawatan kerana campur tangan politik, termasuk dalam satu siasatan terhadap kejadian letupan pada tahun lalu. - Foto AGENSI
Tiga hakim Lubnan meletak jawatan kerana campur tangan politik, termasuk dalam satu siasatan terhadap kejadian letupan pada tahun lalu. - Foto AGENSI

Ekoran campur tangan politik, hakim Lubnan letak jawatan

BEIRUT: Tiga hakim Lubnan meletak jawatan berikutan campur tangan oleh ahli politik dalam hal ehwal badan kehakiman, termasuk dalam satu siasatan terhadap kejadian letupan pada tahun lalu, dakwa seorang sumber badan kehakiman hari ini.

Dalam sebuah negara di mana pemimpin politik 'bertanggungjawab' menentukan pelantikan badan kehakiman termasuk di mahkamah tinggi, ia hanya memberi sedikit ruang buat badan kehakiman untuk bekerja menentang pemerintah elit Lubnan.

Siasatan terhadap letupan besar di pelabuhan mendedahkan berlaku campur tangan apabila pegawai tertinggi mencabar mahkamah bagi menghalang kerja ketua penyiasat, Tarek Bitar.

"Pada Rabu, tiga hakim, kesemuanya wanita menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai bantahan... campur tangan politik dalam kerja badan kehakiman dan menjejaskan keputusan yang ditentukan oleh hakim dan mahkamah," dakwa sumber badan kehakiman itu.

Bagaimanapun, ketua mahkamah tertinggi negara itu masih belum meluluskan peletakan jawatan itu dan memohon ia dibincangkan dalam mesyuarat, dakwa sumber.

Peletakan jawatan oleh tiga hakim dibuat selepas pegawai memfailkan puluhan tuntutan mahkamah terhadap Bitar serta hakim lain yang memproses permohonan penggubal undang-undang yang menuntut penyingkirannya.

Seorang hakim yang bertindak meletak jawatan itu adalah individu yang menolak permohonan seorang pegawai untuk menyingkirkan penyiasat.

Akibatnya, dia selalu diganggu supaya mengkaji semula dengan mempersoalkan kesahihan keputusannya.

"Mempersoal secara berterusan terhadap keputusan badan kehakiman mencemarkan reputasinya," kata pegawai mahkamah sama yang tidak mahu namanya didedahkan kepada AFP.

Meskipun kes letupan paling mendapat perhatian tahun lalu, ia bukan satu-satunya kes yang ada campur tangan pemimpin politik.

Siasatan terhadap tuduhan mengelak cukai dan kekayaan tidak sah terhadap ketua bank pusat, Riad Salameh turut dihentikan sementara susulan tuntutan mahkamah yang difailkan ke atas ketua penyiasat, Jean Tannous. - AFP

Berita Harian X