Khamis, 25 November 2021 | 2:08pm
Gambar menunjukkan bangunan berhampiran Parlimen Pulau Solomon di Honiara terbakar. - Foto AFP
Gambar menunjukkan bangunan berhampiran Parlimen Pulau Solomon di Honiara terbakar. - Foto AFP

Rusuhan di Solomon desak PM letak jawatan

HONIARA: Rusuhan baharu tercetus di Honiara, pusat bandar Kepulauan Solomon hari ini, menuntut Perdana Menteri, Manasseh Sogavare, meletak jawatan.

Gesan beliau supaya ketegangan dalam kalangan gugusan kepulauan itu sehingga menyebabkan negara Pasifik itu terjerumus ke dalam krisis, tidak diendahkan.

Penunjuk perasaan menentang terus membantah sekatan dikenakan kerajaan selepas kekacauan meluas di ibu negara semalam, dengan cuba menyerbu Parlimen dan menggulingkan kerajaan Sogavare.

Namun, Perdana Menteri mendakwa kerajaannya masih terkawal dan akan terus memimpin negara.

"Hari ini saya berdiri di depan anda untuk memaklumkan negara kita selamat, pihak bertanggungjawab akan berdepan tindakan undang-undang tegas," katanya.

Seorang penduduk tempatan berkata, perusuh berkumpul semula dan sekali lagi menyasarkan kawasan Chinatown Honiara dan menggeledah balai polis.

Lelaki yang enggan dikenali itu berkata, polis sudah membuat sekatan jalan raya tetapi pergolakan tidak menunjukkan tanda akan reda.

"Ada perusuh bergerak, ia sangat tegang," katanya ketika media tempatan melaporkan rompakan dan polis menggunakan gas pemedih mata.

Saksi lain menyiarkan imej asap yang berkepul dari ibu negara di media sosial dan berkata perniagaan milik orang Cina menjadi sasaran.

Kebanyakan penunjuk perasaan di Honiara dilaporkan berasal dari pulau berjiran, Malaita, di mana penduduknya ramai sudah lama mengadu diabaikan dan disisihkan oleh kerajaan Pusat.

Kerajaan tempatan pulau itu juga menentang keras keputusan Kepulauan Solomon menukar hubungan diplomatik dari Taiwan kepada China pada 2019, yang menurut pengkritik adalah strategi Sogavare bagi mendekati Beijing.

Pemimpin pembangkang, Matthew Wale, yang menggesa Perdana Menteri meletak jawatan dalam satu kenyataan, menyuarakan kekecewaan terhadap keputusan kontroversi dibuat Sogavare semasa memegang jawatan sebagai punca keganasan.

"Malangnya, kekecewaan dan kemarahan rakyat yang terpendam terhadap perdana menteri melimpah tanpa terkawal di jalan raya, di mana ada pihak mengambil kesempatan daripada keadaan serius yang semakin merosot," katanya. - AFP

Berita Harian X