Rabu, 24 November 2021 | 7:17pm
Seorang petani Sri Lanka menyembur racun perosak di ladang padinya di Piliyandala, di luar ibu negara, Colombo. - AFP
Seorang petani Sri Lanka menyembur racun perosak di ladang padinya di Piliyandala, di luar ibu negara, Colombo. - AFP

Sri Lanka tarik sebahagian larangan penggunaan racun rumpai

COLOMBO: Sri Lanka hari ini menarik sebahagian larangannya terhadap penggunaan racun rumpai yang menjadi subjek tuntutan undang-undang oleh Amerika Syarikat (AS) kerana ia didakwa boleh menyebabkan kanser.

Negara pulau itu berada dalam cengkaman krisis ekonomi dengan kekurangan pertukaran asing yang mencetuskan isu kemerosotan makanan, minyak mentah dan barangan keperluan lain.

Pada hujung minggu, pihak berkuasa menarik balik larangan terhadap racun perosak dan barangan pertanian lain, selepas berlakunya kekurangan makanan sehingga menyaksikan harga sayur meningkat dua kali ganda serta ada pasar raya mula mencatu beras.

Sri Lanka melarang sepenuhnya penggunaan glifosat yang diklasifikasikan sebagai 'kemungkinan karsinogen' oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015.

Ia kemudiannya mengeluarkan pengecualian terhadap penggunaannya untuk industri teh selaku penyumbang utama eksport negara, selepas pemilik ladang meramalkan akan berlaku kegagalan tanaman mereka serta pengangguran besar-besaran.

Buletin kerajaan yang diedarkan hari ini membatalkan kesemua sekatan terhadap penggunaan racun rumpai serta-merta.

Perkara itu disahkan Menteri Pertanian, Mahindananda Aluthgamage kepada pemberita pada hari ini bahawa kesemua baki larangan terhadap produk pertanian itu dimansuhkan.

Glifosat adalah bahan aktif dalam racun rumpai dan digunakan secara meluas seluruh dunia sejak pengenalannya pada 1974.

Ia digunakan sama ada untuk tanaman makanan dan pertanian luar seperti rumput awam dan hutan.

Syarikat kimia gergasi Jerman, Bayer dibelenggu masalah undang-undang sejak firma itu membeli pengeluar Roundup Monsanto pada 2018 berikutan beberapa siri tuntutan oleh pesakit kanser yang mendakwa glifosat menyebabkan mereka jatuh sakit.

Berikutan itu, firma berkenaan memperuntukkan berbilion dolar bagi menampung kos tindakan undang-undang.

Pada Mei lalu, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa mengharamkan import bahan kimia pertanian dengan alasan beliau mahu menjadikan industri pertanian di negara itu 100 peratus organik. - AFP

Berita Harian X