Rabu, 24 November 2021 | 4:33pm
Israel menyerang bahagian tengah Syria pada awal pagi. - Foto AFP
Israel menyerang bahagian tengah Syria pada awal pagi. - Foto AFP

2 awam terbunuh dalam serangan Israel terhadap Syria

DAMASCUS: Sekurang-kurangnya dua orang awam terbunuh dan tujuh cedera, kebanyakannya tentera, dalam serangan Israel pada subuh tadi di tengah Syria, lapor agensi berita rasmi Syria SANA.

"Pencerobohan (Israel) mengakibatkan kematian dua orang awam dan mencederakan enam askar dan seorang awam," kata seorang pegawai tentera yang dipetik oleh SANA.

Serangan itu menyasarkan kedudukan di bahagian tengah negara, kata agensi berita itu, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai lokasi itu.

Pertahanan udara Syria 'mematahkan serangan itu dan menembak jatuh kebanyakan' peluru berpandu, kata SANA, memetik sumber yang sama.

Tentera Israel, yang jarang mengakui serangan individu ke atas Syria, enggan mengulas mengenai 'laporan dalam media asing'.

Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel telah melakukan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria, menyasarkan kedudukan kerajaan serta tentera sekutu yang disokong Iran dan pejuang pergerakan Hizbullah Lubnan.

Israel telah berulang kali berkata, ia tidak akan membenarkan negara jiran Syria menjadi landasan pelancaran bagi musuh ketatnya Iran. - AFP

Berita Harian X