Selasa, 23 November 2021 | 6:57pm
Air tasik di kawasan Bangalore dilaporkan melimpah selepas hujan lebat selama tiga hari mengakibatkan jalan raya dan rumah turut ditenggelami air. - Foto AGENSI
Air tasik di kawasan Bangalore dilaporkan melimpah selepas hujan lebat selama tiga hari mengakibatkan jalan raya dan rumah turut ditenggelami air. - Foto AGENSI

30 terkorban banjir melanda Bangalore, India

BANGALORE: Sekurang-kurangnya 30 terkorban dalam kejadian banjir di Bangalore yang juga hab teknologi India selepas hujan lebat melanda negara itu sejak beberapa hari lalu.

Menurut laporan media tempatan, seramai 42  jumlah korban turut dilaporkan selepas hujan lebat melanda negeri pantai Kerala, sehingga mendorong pihak berkuasa untuk menangguhkan ziarah tahunan ke Sabarimala, tapak salah satu kuil paling suci agama Hindu.

Air tasik di kawasan Bangalore dilaporkan melimpah selepas hujan lebat selama tiga hari mengakibatkan jalan raya dan rumah turut ditenggelami air.

Rentetan itu, pasukan berkuasa menggunakan rakit penyelamat untuk mengambil penduduk yang terkandas manakala bas dan beca bermotor membawa penumpang di kawasan yang air banjirnya berada pada paras lutut.

Penduduk Bangalore, Rathnamma, berkata mereka tidak boleh memasuki kediaman masing-masing berikutan keadaan air yang bertakung.

"Semua barangan keperluan kami berada di dalam rumah sedangkan kami terperangkap di luar sejak jam 10 malam tadi," katanya kepada AFP.

Sementara itu, menurut pandangan pakar, cuaca luar biasa dan tidak dijangka di seluruh Asia Selatan berlaku ekoran perubahan iklim yang diburukkan lagi dengan penebangan hutan dan projek pembangunan tanpa kawalan.

Selain Bangalore dan Kerala, hujan lebat yang berlarutan selama seminggu turut menyebabkan banjir di bandar Chennai pada awal November lalu. - AFP

Berita Harian X