Isnin, 22 November 2021 | 9:02pm
Penyokong Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) menuntut kerajaan membenarkan pemimpin mereka, yang juga bekas Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia, mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. - Foto EPA

Protes tuntut bekas PM Bangladesh dirawat di luar negara

DHAKA: Tunjuk perasaan menuntut kerajaan membenarkan bekas Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia, ke luar negara untuk mendapatkan rawatan bertukar ganas.

Lebih 20 penunjuk perasaan cedera selepas polis Bangladesh melepaskan gas pemedih mata terhadap ribuan penyokong pembangkang.

Menurut doktor, AZM Zahid Hossain, Zia, 76, yang juga seteru utama Perdana Menteri sekarang, Sheikh Hasina, dimasukkan ke unit jagaan kritikal di Hospital Dhaka awal bulan ini selepas penyakit hati yang dialaminya semakin serius.

"Dia sakit tenat dan kini memerlukan rawatan segera di negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman atau Britain. Tiada rawatan untuknya di rantau ini," katanya.

Zia dihalang oleh mahkamah daripada melakukan perjalanan ke luar negara selepas disabitkan dengan pertuduhan rasuah pada 2018.

Penyokong Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) menuntut kerajaan membenarkan pemimpin mereka, yang juga bekas Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia, mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. - Foto EPA
Penyokong Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) menuntut kerajaan membenarkan pemimpin mereka, yang juga bekas Perdana Menteri Bangladesh, Khaleda Zia, mendapatkan rawatan perubatan di luar negara. - Foto EPA

Menurut penganjur, bantahan hari ini di luar Kelab Akhbar Kebangsaan Dhaka menarik lebih 15,000 aktivis dan penyokong Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) yang dipimpin Zia.

Namun, polis menganggarkan ia hanya disertai sekitar 7,000 penunjuk perasaan dengan ratusan anggota pasukan keselamatan dikerahkan mengawal keadaan.

BNP, yang mentadbir sejak 2001 hingga 2006, turut mengadakan tunjuk perasaan di puluhan bandar di seluruh negara dengan 169 juta penduduk itu.

Menurut maklumat polis, kira-kira 20 orang termasuk tiga wartawan cedera di daerah utara Natore apabila aktivis BNP bertempur dengan polis yang cuba menghalang perarakan.

"Mereka membaling batu ke arah polis yang melepaskan gas pemedih mata dan tembakan peluru getah dari senapang patah untuk menyuraikan mereka," katanya.

Naib Presiden BNP, Hossain, berkata selain penyakit hati, Zia turut menderita penyakit buah pinggang kronik, jantung selain artritis reumatoid dan diabetes.

Minggu lalu, Hasina menolak rayuan daripada keluarga dan parti pimpinan Zia untuk membenarkannya mendapatkan rawatan di luar negara.

"Saya sudah melakukan yang terbaik dan kini terpulang kepada mahkamah untuk memutuskannya.

"Dengan menggunakan segala kuasa yang ada di tangan saya, saya hanya berupaya meletakkan Khaleda Zia di rumah dan bukannya di penjara," katanya melalui taklimat media.

Zia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada Februari 2018 atas tuduhan rasuah yang dikatakan bermotifkan politik.

Namun, beliau dibebaskan pada Mac tahun lalu selepas keadaannya bertambah buruk di dalam penjara.

Menurut Hossain, ketika dimasukkan di penjara pada 8 Februari 2018, Zia mampu berjalan tanpa bantuan.

Namun, selepas dibebaskan pada 25 Mac 2020, dia terpaksa menggunakan kerusi roda dan kini bekas pemimpin itu tidak boleh bergerak tanpa dibantu. - AFP

Berita Harian X