Isnin, 22 November 2021 | 7:43pm
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP
Presiden Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

Filipina kutuk 'serangan' di Laut China Selatan

BEIJING: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, mengutuk kes serangan di Laut China Selatan selepas kapal Pengawal Pantai China melepaskan tembakan meriam air ke arah bot Filipina.

Bot Filipina itu sedang menghantar bekalan kepada pasukan marin Filipina di Beting Second Thomas, di Kepulauan Spratly, yang turut menjadi rebutan antara kedua-dua negara terbabit.

Duterte membuat kenyataan itu pada sidang kemuncak secara maya sempena persahabatan 30 tahun Beijing-ASEAN, yang dipengerusikan Presiden China, Xi Jinping, hari ini.

"Kami meluat dengan peristiwa baru-baru ini di Beting Ayungin (nama di Filipina bagi Beting Second Thomas) dan melihat perkembangan seumpamanya dengan penuh kebimbangan.

"Ia tidak menggambarkan suasana yang baik mengenai hubungan dan perkongsian antara kita," katanya pada dialog sempena sidang kemuncak itu.

Sebelum ini Xi berjanji bahawa China tidak akan tunjuk kuasa atau mempengaruhi apatah lagi membuli negara lebih kecil.

China menuntut hampir semua kawasan perairan di Laut China Selatan membabitkan perdagangan bernilai bertrilion dolar setiap tahun dengan persaingan tuntutan daripada Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Sebelum ini, Beijing mengabaikan keputusan Mahkamah Timbang Tara yang berpangkalan di The Hague pada 2016 bahawa tuntutan China dari segi sejarah dibuat tanpa asas.

Rentetan itu, Manila melahirkan rasa marah terhadap kejadian terbabit, namun Beijing menegaskan bot Filipina memasuki perairannya tanpa kebenaran.

Kenyataan Duterte disifatkan luar biasa kuat bagi seorang pemimpin yang sebelum ini memupuk hubungan lebih mesra dengan Beijing sejak mengambil alih kuasa pada 2016, bagi mendapatkan manfaat pelaburan dan perdagangan.

Namun, tidak pasti sama ada ucapan itu dibuat ketika XI masih menghadiri sidang kemuncak itu ataupun sebaliknya.

Dalam sidang kemuncak berkenaan, Jinping pula menegaskan kestabilan Laut China Selatan harus dikekalkan secara bersama, sekali gus membina perairan itu sebagai lautan keamanan, persahabatan dan kerjasama.

Sementara itu, ketegangan baharu dengan Filipina di perairan terbabit ternyata menimbulkan kebimbangan peringkat antarabangsa.

Susulan kes itu, Amerika Syarikat (AS) memberi amaran kepada China bahawa serangan bersenjata terhadap kapal awam Filipina akan mengundang tindak balas AS di bawah perjanjian pertahanan dengan negara Asia Tenggara itu.

Kesatuan Eropah (EU) juga menggesa semua pihak menghormati kebebasan pelayaran dan penerbangan di Laut China Selatan.

Sementara itu, Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana, berkata bot bekalan terbabit akan menyambung semula misi mereka ke Beting Second Thomas selepas duta China ke Filipina memberi jaminan mereka tidak akan dihalang.

China mengawal beberapa terumbu di Laut China Selatan termasuk Beting Scarborough yang dirampas Beijing daripada Manila pada 2012, yang terletak hanya 240 kilometer di barat pulau utama Luzon di Filipina. - AFP

Berita Harian X